PEKERJA perkhidmatan sokongan hospital awam, yang terdiri daripada kumpulan B40 rakyat Malaysia, memperoleh gaji minimum selama 25 tahun sejak kerajaan menyerahkan pekerjaan mereka kepada kontraktor swasta.
Mereka kini mahu kembali ke dalam perkhidmatan awam dan dibayar gaji oleh kerajaan, kerana mereka tidak mempunyai harapan untuk memperbaiki kehidupan dalam situasi semasa, kata wakil kesatuan mereka Roziah Mohammed Hashim.
Pengerusi Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) itu berkata, pemansuhan sistem kontrak adalah salah satu tuntutan mereka kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang diharap dapat ditemui mereka Selasa ini.
Konvoi ahli kesatuan kini sedang dalam perjalanan dengan motosikal dari Pulau Pinang ke Putrajaya untuk bertemu Khairy selain meningkatkan kesedaran orang ramai di sepanjang perjalanan.
Roziah memberitahu The Malaysian Insight 50,000 ahli kesatuan itu mahu dilayan sebagai kakitangan tetap kerajaan.
Sistem kontrak diperkenalkan pada 1 Februari 1997 dan sejak itu pekerja pembersihan hospital awam dibayar gaji minimum. Jumlah itu ditetapkan oleh majlis gaji negara dan melalui perjanjian kolektif dan kemudiannya oleh kerajaan di bawah Perintah Gaji Minimum 2012 apabila ia berkuat kuasa pada 2013.
Gaji minimum semasa dari 2020 adalah RM1,200.
Sebelum sistem kontrak, pekerja pembersihan boleh mendapatkan pinjaman kerajaan dan layak mendapat skim pencen kerajaan, kata Roziah.
“Sejak 20 tahun lalu kami menerima gaji minimum.
“Dengan keadaan ekonomi semasa, tidak banyak yang boleh kita lakukan untuk gaji minimum kerana kos sara hidup sentiasa meningkat.
“Kami adalah dari peringkat terendah dalam kategori B40. Kami perlukan bantuan,” katanya.
Sebahagian besar ahli kesatuan adalah India sebanyak 55%, manakala pekerja pembersihan hospital Melayu membentuk 35% dan Cina 10%.
Dari perspektif jantina dan kemiskinan, Pertubuhan Bantuan Wanita menyatakan 85% daripada 50,000 pekerja pembersihan hospital awam adalah wanita daripada komuniti B40, dan merupakan pencari nafkah tunggal dan ibu tunggal.
__full.png)
Hilang manfaat
Dalam jadual perbandingan yang disediakan Roziah, sistem kontraktor swasta bagi kerja pembersihan hospital awam menunjukkan pekerja kehilangan faedah seperti elaun pengangkutan, kerja syif, kerja tambahan dan bayaran pengebumian berbanding sebelum 1997.
Mereka juga kehilangan akses kepada perkhidmatan pergigian panel, manfaat panel perubatan tahunan mereka dikurangkan daripada RM1,000 kepada RM200 dan juga kehilangan manfaat “hadiah pendidikan kanak-kanak”.
Bagaimanapun mereka mendapat satu hari lagi cuti umum persekutuan dan empat hari tambahan cuti tahunan.
Anggota kesatuan yang menaiki 25 motosikal memulakan perjalanan dari Hospital Bukit Mertajam di Pulau Pinang semalam dan akan menghabiskan masa empat hari sejauh 530km sehingga tiba di Putrajaya pada Selasa.
Roziah berkata, lebih ramai dijangka menyertai perjalanan itu dan kumpulan itu akan singgah di luar hospital kerajaan untuk mengetengahkan kempen mereka kepada orang ramai.
Roziah berkata, tidak seperti sebelum ini, kontraktor swasta tidak menyediakan latihan yang mencukupi untuk pekerja pembersihan baharu.
“Pada masa itu, tukang cuci baharu diberi latihan tetapi kini penyelia mengharapkan mereka yang baharu belajar daripada tukang cuci berpengalaman,” katanya.
Pekerja pembersihan hospital juga mahu diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan, tambahnya, memandangkan mereka terdedah kepada risiko kesihatan, terutamanya semasa pandemik Covid-19.
Disebabkan mereka bekerja di sektor swasta, mereka tidak diberikan elaun khas kerajaan sebanyak RM600 untuk setiap barisan hadapan semasa pandemik.
NUWHSAS sebelum ini berkata, ia menghantar lima memorandum mengenai nasib tukang cuci kepada Kementerian Kesihatan sejak 2015 tetapi tiada sebarang tindakan diambil. – 7 Februari, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen