Pakatan tetap bersatu walaupun PKR guna logo sendiri di PRN Johor, kata ahli Parlimen


Alfian Z.M. Tahir

PAKATAN Harapan masih kukuh dan bersatu walaupun PKR bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan logo sendiri, kata Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh.

Ahli Parlimen Ledang itu memberitahu majlis anjuran DAP petang ini bahawa persefahaman antara PKR, DAP dan Amanah masih utuh serta perbezaan pendapat itulah yang menjadikan gabungan itu lebih kukuh.

“Adakalanya kita diuji dan apabila diuji kita menjadi lebih kuat. Kerjasama dan persefahaman kita masih kukuh walaupun PKR menggunakan logo berbeza dalam pilihan raya negeri ini.

“Ini adalah sesuatu yang kita patut hargai. Dan sudah tentu isu ini akan digunakan oleh musuh kita untuk memberitahu rakyat Johor bahawa kita tidak bersatu.

“Kami tahu ini tidak benar. Sebagai gabungan kami menyokong satu sama lain dan apa paling penting ialah kerjasama,” kata Syed Ibrahim.

Majlis petang tadi adalah bagi mencalonkan wakil rakyat kerusi DUN Tangkak daripada DAP.

Penyandang Ee Chin Li akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU lalu.

Bercakap lebih lanjut Syed Ibrahim berkata pilihan raya negeri itu tidak wajar kerana Umno hanya cuba untuk memegang kuasa.

“Pilihan raya tidak ada kaitan dengan kestabilan. Umno hanya mahu berpegang teguh pada kuasa dengan menggunakan kestabilan sebagai alasan.

“Pilihan raya negeri sepatutnya ditangguh terlebih dahulu. Kes Covid-19 semakin meningkat, ekonomi masih belum pulih dan pilihan raya umum semakin hampir. Kenapa mereka mesti adakan pilihan raya negeri ini? Jawapannya adalah untuk kuasa,” tegasnya. 

Syed Ibrahim berkata rakyat Johor perlu memberitahu Umno bahawa mereka melakukan kesilapan besar dengan mengadakan pilihan raya negeri.

“Mari kita semua beritahu Umno mereka sudah melakukan kesilapan besar dengan mengadakan pilihan raya ini. Kita mesti mengundi mereka keluar dari berkuasa,” katanya.

Johor sedang bersiap sedia mengadakan pilihan raya negeri dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada Rabu untuk menetapkan tarikh.

Menteri Besar sementara Hasni Mohammad berkata beliau mahukan mandat yang jelas untuk mentadbir negeri itu yang disandang Barisan Nasional dengan kerjasama Perikatan Nasional dengan satu kerusi.

Sebelum pentadbiran Hasni Johor dipimpin oleh Allahyarham Osman Sapian yang kemudiannya digantikan oleh Sahruddin Jamal.

Disebabkan kemelut politik di negeri itu Johor mempunyai tiga menteri besar berbeza dalam tempoh dua tahun. – 6 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen