JANGKITAN harian Covd-19 melonjak semula kepada 9,117 kes hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Angka berkenaan yang dimuat naik menerusi Twitter itu sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini kepada 2,904,131 sejak wabak bermula.
Kali terakhir jangkitan Covid-19 harian melebihi 9,000 kes adalah pada 6, 7 dan 8 Oktober - empat bulan lalu.
Peningkatan hampir 2,000 kes baharu berbanding 7,234 yang dilaporkan semalam berlaku apabila Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi amaran tentang peningkatan mendadak kes dalam beberapa minggu akan datang disebabkan oleh varian Omicron yang lebih mudah berjangkit.
Noor Hisham sebelum ini menerusi Twitter berkata walaupun jumlah kes Covid-19 tinggi namun jumlah mereka yang berada dalam kategori teruk iaitu 3, 4 dan 5 adalah rendah.
Ini disebabkan vaksinasi meluas yang menghalang jangkitan Covid-19 teruk di mana hampir 79% daripada jumlah penduduk negara ini sudah divaksin sepenuhnya dan lebih daripada 52% penduduk dewasa sudah menerima suntikan penggalak.
Varian Omicron sudah melebihi varian Delta di kebanyakan negara tetapi pegawai kesihatan berkata petunjuk lain seperti kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan penggunaan alat ventilator perlu diberi perhatian dalam memastikan sistem penjagaan kesihatan tidak terbeban.
Malaysia menyaksikan peningkatan dalam kes harian sejak akhir Januari, beberapa minggu selepas sekolah dibuka semula dan perjalanan umrah dibenarkan selain penyambungan semula aktiviti ekonomi.
Sumber utama jangkitan pada masa ini ialah sekolah termasuk sekolah berasrama penuh dengan 100 kluster dari sektor pendidikan, kata Kementerian Pendidikan hari ini. – 5 Februari, 2022.
Komen