Vaksin Covid-19 berkesan, hanya 1% kes kategori teruk, kata KP kesihatan


HANYA 1% daripada lonjakan kes Covid-19 semalam berada dalam Kategori 3, 4 dan 5, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sambil menekankan keberkesanan vaksin dalam mencegah jangkitan yang teruk.

Daripada 7,234 kes harian yang dilaporkan semalam hanya 73 pesakit berada dalam tiga kategori Covid-19 yang teruk melibatkan radang paru-paru dan memerlukan alat bantuan oksigen serta kegagalan organ dan alat ventilator.

“Kadar vaksinasi dan penggalak kami yang tinggi menyebabkan pesakit kurang dalam Kategori 3, 4, 5.

“Lebih penting lagi 7,161 (99%) pesakit berada dalam kategori 1 dan 2. Ia menunjukkan bahawa (vaksin) berkesan,” katanya menerusi Twitter yang turut berkongsi angka 1% daripada jumlah kes baharu semalam. 

Semalam Malaysia mencatatkan angka harian Covid-19 mengejutkan selepas tiga hari berturut-turut merekodkan jangkitan melebihi 5,000 kes.

Malaysia menyaksikan peningkatan dalam kes harian sejak akhir Januari, beberapa minggu selepas sekolah dibuka semula dan perjalanan umrah dibenarkan selain penyambungan semula aktiviti ekonomi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata dua hari lalu jumlah Covid-19 dijangka meningkat tetapi orang ramai disarankan tidak bimbang dan sebaliknya melihat petunjuk lain seperti kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU).

Beliau berkata kes Covid-19 mungkin meningkat tetapi ia akan menjadi lebih ringan (kategori 1 dan 2) apabila lebih ramai mendapat vaksin dan suntikan penggalak.

Jumlah kematian juga menurun secara drastik. Kadar kematian adalah 0.2% berdasarkan purata tujuh hari, menurut laman web CovidNow Kementerian Kesihatan.

Hampir 79% daripada jumlah penduduk negara ini sudah diberi vaksin sepenuhnya dan lebih daripada 52% orang dewasa menerima suntikan penggalak. – 5 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen