Guan Eng selar dasar sekejap jadi sekejap tidak Putrajaya


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Putrajaya sering tidak tetap pendirian dalam membuat keputusan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2022.

PENDIRIAN Putrajaya yang sering berubah-ubah ditempelak Lim Guan Eng hari ini, susulan keputusan Kabinet untuk tidak menaikkan tarif elektrik.

Setiausaha agung DAP itu mengulas pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam, sehari selepas Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan memaklumkan tarif baharu elektrik untuk tahun ini sehingga 2024 bakal diumum sebelum Februari.

“Memandangkan negara masih dilanda kemelesetan ekonomi dan pandemik Covid-19, Ismail tidak mempunyai pilihan selain tunduk kepada tekanan orang ramai, dengan membekukan kenaikan tarif elektrik serta meneruskan subsidi bernilai lebih RM700 juta untuk pengguna domestik. 

“Ini jelas menunjukkan sebuah kerajaan yang tidak layak mendapat mandat rakyat dengan pembuatan keputusan yang mengelirukan, dasar yang berubah-ubah dan kehilangan keyakinan pelabur,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ismail Sabri menerusi ciapan di Twitter memaklumkan Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik lebih sembilan juta pengguna domestik.

Subsidi elektrik sebanyak lebih RM700 juta juga akan diteruskan agar pengguna domestik tidak terkesan, katanya.

Mengulas lanjut, Lim berkata kerajaan masih tidak belajar daripada kesilapan besar melaksanakan sekatan pergerakan bersiri di seluruh negara dan prosedur operasi standard (SOP) yang kerap berubah-ubah.

Ini termasuklah penguatkuasaan secara dua darjat dan dasar yang berubah-ubah yang mengakibatkan hampir 32,000 nyawa terkorban, 2.9 juta kes jangkitan dan kerugian ekonomi lebih RM500 bilion.  

Satu lagi contoh katanya, ialah oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali yang bermegah bahawa Malaysia negara paling menarik di Asia Tenggara untuk pelaburan asing pada 2022 dengan bergantung kepada badan pemikir yang kurang dikenali, iaitu Milken Institute.

“Ini bercanggah dengan pengumuman bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa lebih banyak perlu dilakukan untuk menjadikan Malaysia lebih menarik dan berdaya saing dengan negara jiran kita. 

“Azmin nampaknya membayangkan bahawa menjadi destinasi pelaburan paling menarik di Asia Tenggara akan membolehkan Malaysia merekodkan pelaburan tertinggi di Asean,” kata ahli Parlimen Bagan itu.

Tambahnya, Azmin sepatutnya melakukan pendedahan penuh dengan mendedahkan bahawa Milken Institute tidak memasukkan Singapura dalam kajian mereka, walaupun Singapura adalah negara anggota Asean dan secara geografinya terletak di Asia Tenggara. 

“Analisis lebih terperinci tentang kaji selidik oleh Milken Institute akan dijalankan dan diumumkan selepas Tahun Baru Cina oleh pemimpin DAP.

“Saya tidak mahu melihat Azmin bersilat lidah lagi nanti apabila Malaysia gagal mencatat pelaburan lebih tinggi daripada Indonesia, Thailand, Singapura dan juga Vietnam pada 2022,” katanya.

Lim berkata, pada 2020, Malaysia mencatatkan AS$3 bilion dalam Pelaburan Langsung Asing (FDI) berbanding FDI bagi Singapura sebanyak AS$91 bilion, Indonesia AS$19 bilion, Vietnam AS$16 bilion.

Malah Kemboja mempunyai FDI yang lebih tinggi daripada Malaysia iaitu AS$3.6 bilion, katanya.

“Apakah yang akan dilakukan oleh Azmin jika Malaysia gagal mengatasi semua negara ini pada 2022?” – 29 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen