Putrajaya tak jadi naik tarif elektrik


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Kabinet juga memutuskan untuk meneruskan subsidi lebih RM700 juta kepada lebih 9 juta pengguna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2022.

TARIF elektrik untuk pengguna domestik tidak akan dinaikkan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, Kabinet juga memutuskan untuk meneruskan subsidi lebih RM700 juta kepada lebih 9 juta pengguna. 

Perkembangan itu diumumkan perdana menteri di Twitter.

Semalam, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata tarif baru bekalan elektrik untuk tahun ini sehingga 2024 bakal diumumkan sebelum Februari.

Takiyuddin berkata keputusan berhubung tarif baharu itu sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.

“Kita telah berbincang dengan Kabinet sebanyak enam kali berturut-turut. Alhamdullilah semalam kita telah muktamadkan.

“Jadi saya rasa tak lama lagi kita akan umumkan. Kita akan laksanakan IBR (Kawal Selia Berasaskan Insentif pada 1 Februari bagi tempoh tahun ketiga.

“Jadi anda boleh tekalah bila kita laksanakan, mungkin sebelum dari pengumuman IBR,” katanya kepada pemberita di Dungun, Terengganu.

Sementara itu, Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan pada Rabu lalu bersetuju mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna domestik di Semenanjung untuk tempoh kawal selia bermula 1 Februari 2022 hingga 31 Disember 2024 di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).

Keputusan itu juga terpakai kepada pengguna komersial dan industri.

Kadar tarif itu digunakan sejak 1 Januari 2014 apabila mekanisme IBR diperkenal sebagai dasar baharu dalam penetapan tarif elektrik. – 28 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen