Nyanyian zaman bukan irama lapuk


Zulfadzli Halim

SELESAI tunjuk perasaan #TangkapAzamBaki tempoh hari, kebetulan saya teringin minum teh tarik berhampiran tempat berkumpulnya para demonstran.

Saya sendiri tidak menyertai demonstrasi tersebut kerana ia budaya barat dan bertentangan dengan budaya Melayu iaitu menjadi pak turut.

Apatah lagi agendanya seteru norma baharu Keluarga Malaysia iaitu mencintai rasuah sepertimana kita harus menyayangi penyu.

Kembali ke kedai mamak, telinga saya mencuri dengar perbualan mereka (yang saya tidak pernah kenali dan cam muka) mana tahu terdengar suara orang yang memberi upah untuk turun berdemo bagi merugikan peniaga.

Suara hingar kedai yang penuh pelanggan ini membuatkan saya perlu betul-betul pasang telinga.

“Kita kena tukar lagu,” kata pemuda A yang berambut panjang lurus hasil teknik rebonding.

“Tadi ramai orang baru yang tak tahu menyanyi ikut kita,” tambahnya lagi.

Rakan-rakannya bersetuju. Lagu seperti “Buruh Tani” saduran nyanyian para demonstran Indonesia tidak lagi dikenali orang muda.

“Kita perlu tukar lirik lagu yang trend sekarang supaya orang ramai boleh menyanyi bersama,” cadangnya lagi.

Yang lain mula mencadangkan lagu TikTok namun dibantah kerana perlu disertai tarian gaya sotong yang mungkin melemaukan semangat perlawanan terhadap koruptor.

Perbualan ini benar-benar berlaku. Orang muda mula menyesuaikan lagu yang mungkin lewat setahun dua agar rentak yang mereka nyanyikan senada dengan kehendak semasa.

Lagu dan nyanyian ini harus senada agar semangat yang mereka bawa menjadi bukti hasrat mereka menyatu dan suara mereka bersama.

Adakah pemimpin politik tempatan ada berfikir benda yang sama?

Adakah lagu yang sama dinyanyikan pada 2018, masih “trending” untuk PRU15 lagi?

Adakah keperluan rakyat terutamanya pengundi baharu 5.8 juta ini benar-benar difahami atau sekadar menjadi angka untuk direbutkan agar kerusi empuk Putrajaya kekal menjadi milik politikus tua?

Anak muda harus menjadi kuasa pendesak dan pemandu kepada keputusan PRU15. Lebih mahal dari umpan kempen tukar minyak hitam motor atau baucer membeli-belah atas talian, masa depan mereka; peluang kerja, akses kepada pendidikan, dan masalah perumahan selepas berkahwin mungkin berada dalam lipatan kertas undi.

Namun bagaimana membawa kesedaran ini? Lagu apa yang harus dimainkan?

Pernah saya mengikut arwah Pak Wan Khazim berceramah di sebuah kampung di Perlis, bertukar menjadi peristiwa yang mengubah hidup saya. Almarhum merupakan orang kuat Angkatan Pemuda Insaf (API) sebelum menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Dalam ceramah beliau, cerita yang digunakan sangat dekat dengan realiti hidup orang di kampung. Tiada istilah inflasi, gini coefficient atau hal menarik pelaburan luar.

Pak Wan Khazim sangat fasih dengan ideologi kiri, namun beliau tidak memetik nama mereka yang kiri bersemadi di Rusia atau Perancis. Beliau cuma bercerita tentang ayam dan kilang batu kapur.

Langsung tidak tunjuk pandai dengan khazanah pengalaman, beliau cerita tentang apa yang berlaku depan mata penduduk sekeliling; bagaimana ayam yang dibela orang kampung tapi harga ditetapkan pemborong. Bagaimana alam dijarah, penduduk kampung hanya mendapat habuk sedangkan puak pemodal membawa keluar hasil yang melimpah ruah.

Kecerdikan dan kesedaran tinggi kadangkala menjadi sumpahan bila idea besar gagal diterjemah kepada bahasa mudah.

Bukan kita nak sebut yang pengundi muda ini bodoh dan tak faham gagasan yang besar, tapi cara sebut acah-acah pintar itu sudah cukup menjengkelkan.

Jika pesanan pemuda berambut rebonding ini diambil mudah, dan pemimpin politik masih mahu menyanyikan lagu lama dengan rentak lama, pastinya mereka hanya akan syok sendiri.

Semangat zaman berubah, tema dan isi liriknya mungkin sama namun lagu sekarang mungkin lebih rancak dan pantas sesuai dengan 280 huruf di Twitter dan 100 aksara di TikTok.

Mungkinkah kita akan temui lagu dan menyanyi melodi yang sama?

Ini cabaran untuk mereka yang bakal mengubah masa depan. – 27 Januari, 2022.

* Zulfadzli Halim seorang jurutera sebelum wabak Covid-19. Kini berkicau di Twitter menggunakan nama @bumilangit kerana tak cukup kacak untuk TikTok.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen