KAMI berpegang kepada kenyataan kami, tegas Persatuan Ulama Malaysia (PUM) hari ini, walaupun diberi amaran supaya “hati-hati” dalam mengeluarkan kenyataan apabila mendakwa akan berlaku keganasan agama susulan keputusan mahkamah berhubung penukaran agama sebelah pihak.
“Saya sedar bahawa saya bercakap dalam masyarakat majmuk dan pelbagai agama tetapi kami tidak boleh membiarkan keadaan ini (keluar Islam).
“Saya hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Islam, untuk menentang perbuatan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
PUM menimbulkan kemarahan polis dan badan lain apabila ia menggesa pihak berkuasa berhenti mencari bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah dan anak bongsu mereka, Prasana Diksa, yang sudah sembilan tahun tidak bertemu Indira.
PUM mendakwa jika pihak berkuasa terus mencari Riduan dan Prasana, ada kemungkinan ia akan membawa kepada keganasan agama.
Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa keputusan Riduan untuk menukarkan agama tiga anak mereka kepada Islam, terbatal dan tidak sah.
Pasangan itu mempunyai dua anak lagi berumur 20 dan 19 tahun, yang berada dalam jagaan Indira. Riduan melarikan diri bersama Prasana selepas pertelingkahan membabitkan hak jagaan. Di mana beliau berada sekarang masih tidak diketahui.
“Saya tidak mahu cakap lebih lanjut. Tetapi sebagai seorang Islam, saya berpegang kepada kepercayaan saya,” kata Halim.
“Kami sudah pasti tidak boleh membenarkan anak yang sudah memeluk Islam keluar daripada agama ini,” katanya.
Mengulas kenyataan PUM, Indira merayu supaya isu agama diketepikan, dan berkata dia hanya mahu berjumpa dengan anak bongsunya itu.
“Saya tahu dia Muslim sekarang. Saya hormati keputusannya, tetapi sebagai ibu saya mahu melihat dan memeluknya,” kata Indira.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun turut mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan apabila mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai penukaran agama sebelah pihak itu.
“Semua pihak perlu berhati-hati dan bertanggungjawab apabila memberi kenyataan.
“Negara kita ada undang-undang,” kata Fuzi. – 6 Februari, 2018.
Komen