Usaha jejak bekas suami Indira boleh bawa keganasan agama, kata ulama


Keputusan mahkamah memihak kepada M. Indira Gandhi yang mana pertukaran agama tiga anaknya kepada Islam terbatal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2018.

PERSATUAN Ulama Malaysia (PUM) memberi amaran bahawa konflik agama yang membawa kepada keganasan mungkin boleh tercetus di negara ini jika pihak polis terus memburu bekas suami dan anak bongsu M. Indira Gandhi.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam halaman Facebook, PUM mendesak supaya polis berhenti membruru Muhamad Riduan Abdullah dan Prasana Diksa selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penukaran agama tiga anak Indira terbatal dan tidak sah.

“PUM meminta jasa baik pihak polis supaya tidak memburu bapa tersebut dan anaknya sehingga satu penyelesaian bersama dicapai,” kata Presiden PUM, Abdul Halim Abd Kadir.

“PUM bimbang sekiranya ia dilakukan, ada kemungkinan akan berlaku konflik antara penganut agama di negara ini sehingga mungkin berlakunya keganasan (violence) dalam masyarakat.”

Persatuan itu juga memohon Yang di Pertuan Agong memberikan nasihat mengenai perkara yang melibatkan status pengislaman seseorang.

Menurut PUM lagi, anak-anak Indira yang telah ditukar agama kepada Islam tidak boleh dibiarkan kembali kepada agama Hindu.

Selepas keputusan Mahkamah Persekutuan itu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berjanji akan menjejaki Riduan dan Prasana, 9, yang diculik sembilan tahun lalu.

Dua lagi anak Indira iaitu Tevi Darsiny, 20 dan Karan Dinish, 19, dilaporkan memberitahu sebuah akhbar bahawa dengan keputusan mahkamah itu,  mereka kini boleh mengisytiharkan diri mereka sebagai penganut Hindu.

Pada 2 April 2009, Riduan yang sebelum memeluk Islam dikenali sebagai K. Pathmanathan telah menukar agama ketiga-tiga anak mereka tanpa pengentahuan Indira.

Pada 2016, Indira Gandhi yang bekerja sebagai guru tadika dilaporkan telah berkata dua anaknya yang sudah besar menganuti agama Hindu sejak lahir dan agama yang tertera di MyKad mereka adalah Hindu. – 31 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • PUM sepatutnya bersuara tentang keadilan yang diamalkan agama demi mengatasi keganasan. Tidak ada manfaat langsung mengata sesuatu yg serupa ugutan selain daripada menunjuk sendiri yg mempunyai kecendorongan terhadap keganasan.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan