SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guang Eng mempertikaikan adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus “membalas dendam” terhadap ahli Parlimen pembangkang yang mendesak jawapan berhubung kontroversi pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Lim berkata ahli Parlimen pembangkang tidak peduli dengan tindakan SPRM dan tidak akan berputus asa daripada mencari kebenaran berkenaan kes Azam.
Kenyataan Lim itu dibuat susulan SPRM mendakwa anak saudara Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa, K Rasiah dan bekas pekerja pusat khidmatnya, Nico Kam kerana didakwa meminta rasuah daripada warga asing untuk menutup kes salah guna kelayakan akademi untuk kemasukan pekerja warga asing.
Mereka mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan dibuat mengiktu Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009 dan dibenarkan ikat jamin RM10,000 setiap seorang di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pagi tadi.
Sivarasa semalam mendakwa SPRM menyasarkan kakitangannya bagi membalas denda kerana membangkitkan tuduhan terhadap Azam di Parlimen bulan lalu.
“Berapa ramai lagi wakil rakyat dan pemimpin pembangkang yang akan didakwa oleh SPRM sebagai tindakan balas dendam kerana terus menerus mencari kebenaran dalam kes pemilikan saham Azam,” kata Lim.
“Memandangkan ramai ahli Parlimen pembangkang lain membangkitkan isu Azam di Parlimen, adakah ia bermakna mereka akan diburu dan dikenakan pertuduhan oleh SPRM?
“Ahli Parlimen pembangkang tidak akan berundur daripada terus mencari kebenaran terhadap isu saham Azam,” kata Lim yang juga ahli Parlimen Bagan.
Pada 14 Disember, Sivarasa membangkitkan dakwaan Azam memiliki jutaan saham dalam syarikat korporat, di Dewan Rakyat, bertanya sama ada ketua pesuruhjaya SPRM itu mengisytiharkan pemilikan itu dan mendesak satu siasatan dilakukan.
Azam dikecam hebat berhubung isu memiliki saham dalam dua syarikat tersenarai awam pada 2015 dan 2016 ketika berkhidmat dalam SPRM.
Azam mendakwa adiknya, Nasir menggunakan akaunnya dan saham itu kemudian dipindahkan kepada adiknya. – 24 Januari, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen