Anak saudara, bekas kakitangan Sivarasa didakwa minta dan terima rasuah


Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa semalam mendakwa SPRM memulakan operasi menyasarkan kakitangannya sebagai membalas dendam kerana membangkitkan isu ketua pesuruhjayanya Azam Baki di Parlimen bulan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2021.

NAVEEN Kularasa Rasiah anak saudara Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah dan seorang lagi individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada warga asing untuk “menutup kes” berhubung penyalahgunaan kelayakan akademik bagi kemasukan pekerja asing oleh sebuah syarikat.

Naveen dan Nico Kam, bekas pekerja pusat khidmat Sivarasa mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kedua-dua mereka dibenarkan diikat jamin RM10,000 setiap seorang.

Hakim Azura Alwi menetapkan 24 Februari ini sebagai tarikh sebutan kes seterusnya.

Sivarasa semalam mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan operasi dengan menyasarkan kakitangannya sebagai membalas dendam kerana membangkitkan isu ketua pesuruhjayanya Azam Baki di Parlimen bulan lalu.

Pada 14 Disember Sivarasa membangkitkan isu dakwaan pemilikan berjuta-juta saham Azam di Dewan Rakyat dengan bertanya sama ada ketua pesuruhjaya itu sudah mengisytiharkannya dan meminta siasatan dijalankan.

Beliau berkata SPRM tiba-tiba membangkitkan semula kes itu untuk mendakwa kakitangan dan anak saudaranya.

Kes melibatkan Naveen bermula empat setengah tahun lalu tetapi tidak nampak sebarang tindakan diambil selepas siasatan SPRM selesai pada September 2017. 

Sivarasa berkata kedua-dua Naveen dan Nico tidak bersalah serta kes itu tidak berasas.

“Naveen dan bekas kakitangan saya Nico akan mengemukakan pembelaan mereka dengan tegas di mahkamah. Mereka tidak bersalah,” kata ahli Parlimen PKR itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai. Naveen diwakili oleh M Puravaleen manakala Nico tidak diwakili.

Bagi pertuduhan pertama Naveen dan Nico didakwa meminta rasuah daripada Mono Miah Siddikur Rahman, ahli perniagaan Bangladesh yang memiliki Dyna Maintenance Services Sdn Bhd di Restoran Maluri, Kuala Lumpur pada 17 September 2017 sebagai dorongan untuk tidak melaporkannya ke Jabatan Imigresen.

Mono Miah dikatakan membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk keperluan buruh.

Bagi pertuduhan kedua mereka didakwa bersetuju menerima rasuah berjumlah RM45,000 daripada Mono Miah melalui Kam pada tarikh yang sama sebagai dorongan untuk tidak memaklumkan syarikat itu kepada Jabatan Imigresen.

Bagi pertuduhan ketiga Naveen dan Kam didakwa menerima RM20,000 lagi daripada ahli perniagaan itu di Restoran Habeeb Jaya di Taman Maluri, Cheras pada 21 September 2017. – 24 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen