Kedudukan Muhyiddin dipersoal ketika nasihat Agong berhubung darurat, kata ahli Parlimen 


Noel Achariam

Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah berkata sekiranya Umno dan pembangkang menarik balik sokongan mereka terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya, Agong boleh menolak darurat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2021.

AHLI Parlimen Sungai Buloh mempersoalkan sama ada Muhyiddin adalah perdana menteri yang tepat apabila menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat. 

Sivarasa Rasiah berkata dari sudut pandang politik, Muhyiddin dan Perikatan Nasional tidak mendapat sokongan majoriti di Parlimen. 

“Kita tahu ada ahli Umno yang menarik sokongan mereka terhadap PM (Muhyiddin).

“Jadi nampaknya sokongan ahli Parlimen kepada PM kurang majoriti. Justeru, nasihat kepada Agong untuk darurat boleh dipersoal,” kata Sivarasa pada satu program diskusi Hak Rakyat dan Darurat - dari sudut Perlembagaan Negara.

The Malaysian Insight pada 12 Januari melaporkan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz menarik sokongannya kepada Muhyiddin selepas Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub melakukan perkara yang sama, sekaligus mengurangkan kerusi Parlimen Perikatan kepada 109. 

Pada hari yang sama, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat seluruh negara sehingga 1 Ogos bagi mengekang penularan Covid-19. 

Muhyiddin berkata pengisytiharan darurat itu adalah bagi memberi kerajaan lebih kuasa untuk menangani pandemik. 

Sibarasa berkata sekiranya ahli Parlimen Umno dan pembangkang secara terbuka menarik balik sokongan mereka terhadap Muhyiddin dan Kabinetnya, Agong boleh menolak darurat. 

Beliau berkata penting untuk Parlimen kembali bersidang untuk menunjukkan sama ada Muhyiddin masih mempunyai sokongan yang cukup. 

“Sebagai contoh, jika presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) mengumumkan secara rasmi ahli Parlimennya menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin, Agong boleh menolak darurat,” kata Sivarasa. 

“Sama juga dengan pembangkang. Sekiranya mereka mendapat perkenan daripada Agong dan menunjukkan mereka mempunyai majoriti yang cukup, PN akan tumbang.”

Sementara itu dalam program yang sama, peguam Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali mempersoalkan rasional pelaksanaan darurat. 

“Mengapa kita perlukan darurat? Semasa perintah kawalan pergerakan pertama (PKP1.0) kita tak perlukannya dan 10 bulan kemudian kita laksanakan darurat. 

“Adakah ia untuk menangani pandemik atau satu langkah politik? Rakyat dan pembangkang mempersoalkan perkara ini,” kata Rafique.– 27 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen