PENGANJUR protes #TangkapAzamBaki hari ini berkata ia akan membuat tunjuk perasaan sekali lagi jika pihak berkuasa tidak bertindak terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Aktivis Undi18 Qyira Yusri berkata mereka jangka Putrajaya akan bertindak selepas bantahan mereka hari ini.
“Kami harap kerajaan ambil tindakan segera terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki,” katanya selepas protes bersurai.
Walaupun polis menutup stesen LRT Bangsar dan melencongkan trafik di kawasan itu, kira-kira 200 orang peserta berjaya berkumpul di stesen itu.

Qyira berkata semangat mereka bertambah dengan kehadiran yang tinggi kebanyakannya golongan muda.
“Walaupun kami tidak berhimpun untuk tentang ahli politik, namun sangat bagus apabila melihat generasi muda bangkit menentang rasuah,” katanya menambah bantahan itu juga didorong oleh pertubuhan bukan kerajaan.
Aktivis Adam Adli Abdul Halim juga bersetuju dengan Qyira mengenai kemungkinan mengadakan perhimpunan jalanan lain jika tiada tindakan diambil.
“Kita akan teruskan banyak lagi kempen seperti ini sehingga Azam Baki disiasat.
“Protes hari ini boleh dianggap berjaya kerana kita nampak reaksi kerajaan tutup Kuala Lumpur,” kata Adam.

Perhimpunan itu, anjuran kumpulan masyarakat sivil dan parti politik diharamkan selepas polis mendapat perintah mahkamah melarang perhimpunan di pusat beli-belah Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Jamek.
Penganjur kemudian menukar tempat ke stesen LRT Bangsar, tetapi polis menutup kawasan dan jalan di sekelilingnya selepas mengetahui perkembangan itu.
Perhimpunan itu diadakan bagi menuntut penahanan Azam Baki, berikutan dakwaan beliau membeli berjuta-juta saham pada 2015 dan 2016. – 22 Januari, 2022.
Komen