Polis cuma benarkan peserta berarak sehingga Jalan Travers sahaja


Ravin Palanisamy Elill Easwaran

Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor memberitahu penunjuk perasaan #TangkapAzamBaki mereka tidak akan dibenarkan berarak ke Dataran Merdeka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Januari, 2022.

KETUA Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor memberitahu penunjuk perasaan #TangkapAzamBaki mereka tidak akan dibenarkan berarak ke Dataran Merdeka.

Beliau memberitahu pengasas bersama Muda Tarmizi Anuwar yang penunjuk perasaan hanya dibenarkan berarak sehingga sebelum IPD Brickfields di Jalan Travers, Bangsar sahaja.

“Saya harap anda faham situasi ini dan patuh arahan. Perhimpunan ini beri masalah kepada lalu lintas dan kita tidak mahu ia berpanjangan.

“Orang ramai sudah tahu apa punca perhimpunan ini. Jadi, anda semua tidak perlu pergi jauh-jauh ke sana (Masjid Negara),”

“Bekerjasamalah dengan kami,” katanya kepada Tramizi.

Penunjuk perasaan hari ini mula berkumpul di LRT Bangsar, walaupun disekat berhampiran stesen LRT Bangsar oleh polis.

Polis menutup beberapa jalan di ibu negara hari ini bagi menghalang perhimpunan #TangkapAzamBaki daripada berlangsung di lokasi yang dijadualkan di hadapan kompleks beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Perhimpunan anjuran kumpulan masyarakat sivil dan beberapa sayap pemuda parti politik itu diharamkan selepas polis mendapat perintah mahkamah melarang perhimpunan di Dataran Merdeka, kompleks beli-belah Sogo dan Masjid Jamek.

Penganjur perhimpunan kemudiannya menukar tempat ke stesen LRT Bangsar, tetapi apabila diketahui, polis menutup kawasan dan jalan di situ.

Tramizi berkata mereka belum bersetuju sepenuhnya dengan nasihat itu.

Beliau berkata mereka akan berunding semula dan cuba menuju ke Masjid Negara.

Demonstrasi hari ini diadakan bagi menuntut penahanan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Azam Baki menjadi perbualan hangat di Malaysia berikutan dakwaan beliau membeli berjuta-juta saham pada 2015-16. – 22 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen