DUA tahun lalu, kita dikejutkan dengan berita dan gambar masyarakat Orang Asli suku Jakun di Pahang mencari barangan yang boleh dikitar semula di tapak pelupusan sampah di Bukit Ibam, Muadzam Shah untuk menambah pendapatan.
Ia sekaligus mencetus persoalan berkenaan layanan terhadap masyarakat Orang Asli di negara ini, dan peranan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan mereka.
Selepas diselar orang ramai tentang bahaya dan isu kesihatan, pihak berwajib kemudian menutup tapak pelupusan sampah terbabit kepada orang awam.
Kini, dua tahun berlalu sejak negara dilanda pandemik Covid-19, masyarakat Orang Asli Jakun masih terpinggir dan hanya memperoleh pendapatan yang tidak seberapa dengan menjual hasil hutan. Sebelum ditutup, tapak pelupusan sampah itulah menjadi lubuk mereka mencari rezeki tambahan.
Orang Asli yang pernah mencari barangan lusuh di situ memberitahu The Malaysian Insight mereka mampu memperoleh sekitar RM500 hingga RM600 sebulan sebelum ia ditutup.
“Saya kerja di tapak pelupusan sampah itu dekat 16 tahun, kumpul dan jual barang lusuh. Jadi, masa itu saya ada pendapatan tetap. Selepas tutup, pendapatan saya terjejas,” kata Koi, wanita berusia 32 tahun dari Kampung Bukit Biru 2. Kampung tersebut terletak cuma lima minit dari tapak pelupusan berkenaan.
“Orang cakap kami bekerja di tempat kotor, macam kami tak tahu apa-apa.
“Memanglah kami tahu tempat itu kotor, tapi bila balik ke rumah kami bersihkan diri. Saya kerja di situ cukup lama tapi tak pernah pun dapat penyakit,” ujarnya.
Menurut Koi, tapak pelupusan yang ditutup itu hanya dibuka kepada kontraktor pelupusan sisa pepejal, namun pemiliknya membenarkan Orang Asli Jakun masuk tetapi dengan jumlah yang terhad.

Kebanyakan mereka enggan menjejakkan kaki lagi selepas berita dua tahun lalu mendapat liputan meluas. Bagi sesetengah Orang Asli yang masih ke sana, sesekali dihalau juga oleh pengawal keselamatan meski mendapat kebenaran masuk dari pemilik tapak.
Koi berkata sejak dua tahun lalu Orang Asli Jakun mencari pendapatan dengan membuat kerja-kerja rencam, selain menjual hasil hutan seperti Bertam.
“Sekarang saya dah tak ada kerja. Kadang-kadang kalau ada tauke mahu kayu Bertam, saya carilah. Tapi kerja menebang pokok memenatkan, renyah.
“Lagipun, kayu Bertam cantik semasa musim kering. Kalau musim hujan kayu rosak, tak boleh dijual,” katanya.
Kisah masyarakat Orang Asli suku Jakun di Muadzam Shah mengutip barangan lusuh di tapak pelupusan sampah mendapat perhatian selepas didedahkan wartawan bebas dan jurugambar SC Shekar pada Februari 2020.
Keluarga Orang Asli suku Jakun, termasuk kanak-kanak berusia seawal dua tahun, bekerja di tapak pelupusan di Bukit Ibam bagi menampung hidup slepas hutan yang menjadi sumber air bersih dan mata pencarian mereka tercemar akibat aktiviti pembalakan.
Dalam laporan lain yang turut menyentuh isu sama menyebut tapak pelupusan sampah di Bukit Ibam bahaya kerana dipenuhi bahan kimia serta benda tajam seperti kaca, tin berkarat dan picagari.
Isu ini mendapat perhatian kerajaan yang ketika itu ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan tokoh masyarakat termasuk kerabat diraja Pahang.
P Waythamoorthy ketika itu menteri di Jabatan Perdana Menteri mencadangkan beberapa langkah panjang bagi membantu masyarakat Orang Asli, termasuk menyediakan bekalan air dan elektrik, serta memasang solar di Kampung Biru.
Kerajaan PH bagaimanapun tumbang ekoran percaturan politik dua minggu selepas laporan Shekar diterbitkan. – 22 Januari, 2022.
Komen