Sidang Khas Parlimen berakhir tanpa jawapan


Chan Kok Leong

SIDANG Khas Parlimen mengenai banjir berakhir selepas hampir 10 jam dengan ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan ketidakhadiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Di mana perdana menteri? Adakah beliau tidak akan menjawab soalan kita?” kata Gobind Singh Deo (Puchong-PH) selepas Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian-PN) mengakhiri penggulungannya pada 8.10 malam ini.

“Inilah sebabnya saya bertanya awal hari ini sama ada perdana menteri akan menjawab soalan kami,” tambah Gobind ketika Speaker Azhar Azizan Harun menutup sesi.

Tetapi Azhar menjawab bahawa menteri-menteri telah pun menjawab bagi pihaknya.

“Oleh itu, perdana menteri tidak perlu berada di sini.”

Terdahulu hari ini Ismail Sabri adalah yang pertama bercakap untuk kerajaan menjelaskan tindak balasnya terhadap banjir teruk bulan lepas yang melanda beberapa negeri, mengorbankan 55 orang dan menyebabkan kerugian dianggarkan RM20 bilion.

Ahli Parlimen diberi peluang untuk bertanya soalan dan berharap perdana menteri akan hadir di dewan untuk menjawabnya.

Ketiadaan Ismail Sabri hari ini, bagaimanapun, bukanlah kali pertama, kerana beliau pernah tidak hadir sebelum ini di Parlimen semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Hari ini, selepas hampir 10 jam perbahasan, Tuan Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad (Mersing-PN) dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ditinggalkan untuk menjawab 44 ahli Parlimen yang menyoal kerajaan mengenai tindakannya ketika bencana banjir bulan lepas. 

Ketika Tuan Ibrahim dan Tengku Zafrul berjaya menjawab beberapa soalan, sesi Latiff berakhir tanpa banyak perkembangan kerana banyak masa terbuang dalam pertikaman lidah antara Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak-BN) dan pembangkang.

Kerajaan mendapat kecaman kerana tindak balas yang perlahan dan kekurangan amaran mengenai banjir bulan lepas.

Pagi ini, Ismail Sabri dalam ucapannya menyalahkan pihak berkuasa di Selangor, antara negeri yang paling teruk dilanda banjir, kerana kurang persediaan menghadapi banjir, dan memberitahu pelbagai sebab mengapa penyelamat terhalang dalam usaha mereka membantu mangsa yang terkandas. – 20 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen