Sidang Parlimen kecoh isu Nadma, banjir


Chan Kok Leong

Sidang khas sehari Parlimen hari ini bagi membincangkan respons dan tindakan kerajaan ketika banjir teruk bulan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2022.

SIDANG khas Parlimen hari ini bertujuan untuk pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menjawab dakwaan yang pihak berkuasa lembab dalam bertindak terhadap bencana banjir bulan lalu, dan cara berdepan dengan masalah banjir pada masa depan.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad (Mersing-PN) melengkapkan sesi penggulungan hanya 20 minit, tanpa banyak menyentuh berkenaan rancangan masa depan kerajaan.

Selain Ismail Sabri, fokus persidangan hari ini ialah terhadap Latiff, yang bertanggungjawab terhadap Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Nadma yang ditubuhkan pada 2014 selepas banjir di Kelantan, didakwa terlalu lambat bertindak dalam memberi bantuan kepada mangsa banjir di beberapa negeri bulan lalu, dengan yang paling teruk terjejas ialah Selangor dan Pahang.

Tetapi Latiff yang cuba menepis dakwaan itu berkata Nadma tidak lembab dan setiausaha kerajaan negeri juga bertanggungjawab terhadap kerja bantuan banjir.

“Kita tidak boleh ambil kerja Tuhan dan tidak ada siapa jangka banjir akan berlaku di Hulu Langat, kemudian di Jelebu dan Bentong. Semua kawasan rendah,” kata Latiff.

Kenyataannya itu mencetuskan perbalahan dengan ahli Parlimen pembangkang Selangor yang mengingatkan latiff, bidang kuasa ketika situasi kecemasan seperti banjir di bawah Nadma, bukan kerajaan negeri.

Mereka sekali lagi memberitahu Latiff, kerajaan negeri tidak boleh mengarahkan polis atau tentera untuk membantu operasi bantuan.

Pembangkang bagaimanapun tidak memanjangkan isu itu sebaliknya mahu Latiff segera memberikan jawapannya dan memaklumkan kepada Parlimen apa rancangan kerajaan dalam menangani bencana pada masa depan.

“Seperti diberitahu perdana menteri awal tadi, kita akan menubuhkan jawatankuasa penilaian untuk mengkaji apa yang berlaku ketika banjir bulan lalu,” kata Latiff.

Gobind Singh Deo (Puchong-PH) berkata kerajaan sepatutnya sudah ada rancangan supaya ia dapat dimaklumkan kepada Parlimen.

“Kerajaan tidak sepatutnya mewujudkan lebih banyak jawatankuasa. Apa lagi yang perlu dikaji?,” kata Gobind.

Menjawab kepada Gobind, Latiff berkata kelewatan Nadma hanya isu bidang kuasa.

Jawapannya itu tidak diterima baik dengan Gobind dan Hannah Yeoh (Segambut-PH) kemudian bertanya mengapa kerajaan memerlukan lebih banyak kuasa untuk operasi bantuan banjir.

“Adakah Nadma atau Jabatan Perdana Menteri ada kuasa mencukupi?,” soal Gobind.

Tetapi sebelum Latiff menjawabnya, Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak-BN) dengan nada berang menuduh pembangkang membuli menteri.

“Jangan buli menteri,” jeritnya berulang kali.

Apabila Khalid Samad (Shah Alam-PH) cuba menghentikannya, Tajuddin menyuruh bekas menteri itu diam.

“Diam, diam. Kenapa anda buli menteri? Apa anda buat ketika anda jadi menteri dulu,” kata Tajuddin.

Latiff mengakhiri sesi itu dengan bercakap sedikit mengenai rancangan masa depan kerajaan berkenaan tebatan banjir di Malaysia.

“Saya akan menjawab soalan anda secara bertulis dalam tempoh lima hari,” katanya.

Parlimen mengadakan sidang khas sehari hari ini bagi membincangkan respons dan tindakan kerajaan ketika banjir teruk bulan lalu, yang meragut 55 nyawa dan menyebabkan kerugian mencecah ratusan juta ringgit. – 20 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen