PERUNTUKAN kerusi negeri di Pulau Pinang yang diterajui Pakatan Harapan akan dibawa ke pimpinan pusat pakatan itu, kata ketua menterinya Lim Guan Eng.
Lim yang juga timbalan pengerusi PH dan setiausaha agung DAP berkata, PH Pulau Pinang sudah membincangkan mengenai pengagihan kerusi, namun rundingan mengenainya akan diserahkan kepada pimpinan tertinggi setiap parti.
“Kerusi negeri juga penting untuk membantu PH memenangi tiga kerusi Parlimen yang kini dipegang Barisan Nasional - Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau.
“Bagi memastikan ia berjalan lancar, kita akan bawa ia ke peringkat nasional,” katanya ketika berucap pada konvensyen PH Pulau Pinang pertama yang diadakan di SP Arena di Seberang Jaya, malam tadi.
Pemimpin yang akan mengendalikan rundingan itu adalah Lim sendiri atau Chow Kon Yeow untuk DAP, Muhyiddin Yassin atau Mukhriz Mahathir untuk Bersatu, Mohamad Sabu untuk Amanah dan Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk PKR.
Pengumuman Lim itu dibuat ketika ketegangan memuncak antara parti dalam PH, PKR, Amanah dan Bersatu berhubung rundingan kerusi di Selangor, sebuah lagi negeri yang diterajui PH.
PKR dan Amanah saling menuduh dan menuding jari berhubung rundingan kerusi untuk negeri itu di samping kekeliruan sama ada jawatankuasa khas diperlukan untuk menyelesaikan rundingan.
PH Selangor dijangka akan menyelesaikan rundingan kerusi pada 7 Februari, tarikh akhir yang dilanjutkan berikutan kegagalan untuk menyelesaikannya pada tarikh yang ditetapkan sebelumnya iaitu pada 31 Januari.
Malam tadi, Lim berkata memenangi kerusi Parlimen yang dikuasai BN adalah tidak mustahil sekiranya semua parti dalam PH bekerjasama.
“Jika kita berjuang sendirian, ia agak sukar. Tetapi jika bekerjasama, kita berpeluang..Kita juga boleh menangi kerusi yang paling sukar, Kepala Batas,” kata ketua menteri Pulau Pinang itu.
Kepala Batas merupakan kubu kuat BN yang disandang oleh timbalan menteri luat negeri Reezal Merican Naina Merican.
Kerusi itu sebelum ini pernah disandang oleh bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau masih lagi merupakan tokoh yang dihormati di kawasan itu.
Pengagihan 40 kerusi negeri Pulau Pinang antara partu komponen PH - Bersatu, PKR, DAP dan Amanah - tidak diumumkan malam tadi di konvensyen berkenaan sebagaimana jangkaan ramai.
Apabila Chow dari DAP, yang mempengerusikan jawatankuasa rundingan kerusi PH Pulau Pinang, menamatkan ucapannya pada program itu, beliau berkata pengumuman akan dibuat selepas “senarai nama sudah lengkap”.
The Malaysian Insight difahamkan, rundingan kerusi di negeri itu kini diperingkat akhir, dengan baki hanya “satu atau dua kerusi”.
Kini, PH memegang 30 kerusi negeri dengan DAP memegang 19 kerusi, PKR 10 dan PAS satu kerusi.
Selebihnya dikuasai oleh BN/Umno. Merekalah yang mendapat sokongan daripada PKR, Amanah dan Bersatu.
Terdapat laporan sebelum ini yang menyatakan PH di sesetengah negeri termasuk Pulau Pinang dan Selangor, menghadapi masalah untuk menyelesaikan rundingan kerusi bahagian apabila parti komponen bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum Ogos.
Pimpinan PH pada konvensyen malam tadi turut menyentuh mengenai isu pengagihan kerusi, dengan ramai yang menekankan mengenai kepentingan perpaduan dalam kalangan parti komponen.
Dr Mahathir Mohamad, yang merupakan calon perdana menteri pakatan itu, memberikan ucapan panjang berhubung perpaduan, dan kepentingannya kepada semua parti untuk melupakan kesedihan sekiranya tidak mendapat kerusi dan bekerjasama memberi sokongan kepada calon PH pada pilihan raya, tanpa mengira mereka daripada parti mana.
Ketua Amanah Pulau Pinang Dr Mujahid Yusof Rawa berkata apabila jumlah ahli bertambah, kebiasaannya lebih banyak kerusi untuk diagihkan.
“Saya menggesa semua pihak untuk ingat semula agenda asal. Kita tidak berjuang untuk perjuangan baru. Kita berjuang sejak sekian lama.
“Kita perlu terbuka hati dan bersungguh-sungguh untuk melakukan pengorbanan.
“Jika kita boleh memang 10 kerusi Melayu di Pulau Pinang, ia akan menjadi satu kemenangan kepada semua Melayu di seluruh negara. Ia menunjukkan kepada rakyat apa yang kita perjuangkan, dan Umno boleh bersara awal.”– 5 Februari, 2018.
Komen