Tuduhan berbohong antara parti Pakatan Harapan di Selangor


Zulkifli Sulong

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dari PKR, yang dikatakan telah mengabaikan gesaan untuk pembentukan jawatankuasa khas bagi membincangkan rundingan kerusi di kalangan empat parti komponen Pakatan Harapan di Selangor.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari 2018.

PEMBAHAGIAN kerusi di kalangan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) semakin panas dengan dakwaan “pembohong bertingkat-tingkat” antara tiga parti dengan PKR khasnya di Selangor.

“Siapa yang pembohong sebenarnya, kami Amanah, DAP dan Bersatu atau Azmin sendiri,” kata Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim, ketika PH terpaksa melanjutkan tempoh akhir pembahagian kerusi peringkat negeri dari 31 Januari ke 7 Februari ini.

Izham membela kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Selangor Jamzuri Ardani yang berkata sehingga kini mesyuarat pembahagian kerusi di negeri itu belum bermula lagi.

Ini kerana, tuntutan mereka agar satu jawatankuasa khas dibentuk untuk pembahagian kerusi tidak diendahkan oleh Pengerusi PH Selangor yang juga menteri besar Mohamed Azmin Ali.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Majlis Presiden PH baru-baru yang menyebut satu jawatankuasa khas akan dibentuk untuk merundingkan pembahagian kerusi di negeri itu.

Namun hari ini, Azmin menolaknya dengan berkata, jawatankuasa yang ada akan kekal hanya bertukar nama sahaja.

Azmin mendakwa Amanah berbohong apabila berkata rundingan kerusi belum berjalan sedangkan katanya sudah empat kali rundingan berlangsung di Selangor.

Jamzuri hari ini mempertahankan kenyataannya sebelum ini dan berkata, DAP turut menyokong kenyataan beliau.

“Kenyataan saya berkenaan proses rundingan kerusi PH Selangor adalah benar dan ianya telah disahkan oleh pengerusi DAP Selangor dalam kenyataan yang disiarkan The Malaysian Insight,” tulis Jamzuri dalam kenyataannya di Facebook.

Bagi Izham, Azmin sebenarnya yang berbohong. Ia dibuktikan oleh kenyataan DAP yang turut menyokong kenyataan Amanah sebelum ini. 

“Dia sebenarnya berbohong. Takkan tiga parti lain berbohong apabila mereka sepakat sedangkan Azmin saja yang berbeza. Ini macam bawa perangai Umno dalam PH ni,” kata Izham merujuk kepada kenyataan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, yang menyokong kenyataan Amanah sebelum ini.

Katanya, yang empat kali adalah mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor yang membincangkan tentang persiapan pilihan raya bukan pembahagian kerusi.

Amanah telah menulis surat kepada Azmin untuk membentuk jawatankuasa khas bagi membincangkan pembahagian kerusi itu, namun tidak dilayan. 

Menurut sumber, perundingan kerusi di Selangor bermasalah apabila PKR mahu bertanding kesemua 21 kerusi yang ditandinginya dalam PRU13 ditambah dengan 10 lagi kerusi yang dimenangi oleh PAS sekarang.

Sedangkan di kalangan Amanah, DAP dan Bersatu sudah dicapai kata sepakat tentang cara pembahagian kerusi itu.

Dalam pembahagian itu, kesemua 20 kerusi yang ditandingi oleh PAS dalam PRU13 akan dikongsi antara Amanah dan Bersatu, manakala DAP akan kekal di 15 kerusi yang ditandinginya sebelum ini.

Bersatu juga akan mendapatkan sebahagian kerusi PKR yang dimenangi oleh Umno dalam PRU 13 lalu. Umno menang 12 kerusi negeri dalam PRU13 lalu di Selangor.

“Azmin juga memberitahu seorang pemimpin Bersatu, PKR mahu bertanding di Parlimen Shah Alam dan juga Hulu Langat yang telah diserahkan kepada Amanah dalam pembahagian kerusi parlimen sebelum ini,” kata sumber itu.

Selain Selangor, pembahagian kerusi di Terengganu juga bermasalah sehingga Setiausaha Bersatu Terengganu, Hambali Abdul Latif mendedahkannya melalui laman sosial Facebook.

Sekurang-kurangnya tiga posting yang telah beliau buat menyerang rakan-rakannya dalam PH padahal beliau adalah pengarah komunikasi PH Terengganu.

Dalam pada itu, Pengerusi PH Terengganu, Raja Bahrin Shah memaklumkan, mereka telah mencapai persetujuan yang memberangsangkan apabila 26 dari 32 kerusi telah berjaya diselesaikan.

“Hanya enam kerusi saja yang bertindih manakala dua kerusi lagi tidak ada yang menuntutnya,” kata beliau.

Di Kedah, perundingan pembahagian kerusi juga telah dibawa ke peringkat pusat apabila empat lagi kerusi masih bertindih.

Timbalan Pengerusi PH Kedah, Dr Ismail Salleh berkata, empat kerusi itu adalah Pantai Merdeka, Guar Cempedak, Kulim dan Gurun.

“Mesyuarat hari ini dijangka menyelesaikan pembahagian kerusi di Kedah kerana kami berbincang secara baik dan bukan dengan emosi demi untuk kemenangan PH,” kata Ismail kepada The Malaysian Insight.

Di Kelantan, pembahagian kerusi berjalan dengan lancara antara parti-parti dalam PH dengan Amanah dijangka akan bertanding paling banyak kerusi.

“Kami cuba selesai dengan formula terbaik agar kita boleh menang. Sekarang ini ada cadangan  agar Bersatu juga bertanding di dalam parlimen Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian bagi memudahkan PH menang, sedangkan sebelum ini kedua-dua parlimen itu akan ditandingi oleh Amanah sepenuhnya,” kata seorang AJK Amanah negeri yang tidak mahu disebutkan namanya.

Sehingga kini, Johor dan Negeri Sembilan telah selesai membuat pembahagian kerusidan diumumkan dalam konvensyen mereka manakala negeri-negeri lain memohon untuk penangguhan tarikh tutup selepas mereka terlepas tarikh 31 Januari yang diputuskan sebelum ini. – 2 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen