Apa nasib DAP sesudah DUN Johor bubar


Izmil Amri

RANCAK satu dua hari ini orang bercerita tentang kemungkinan negeri Johor pula bakal menyambut pesta demokrasi, dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri dijangka berlaku tidak berapa hari sahaja lagi.

Pun begitu, rata-rata cerdik pandai politik bersependapat bahawa kekangan waktu ekoran berlangsungnya peperiksaan SPM pada awal bulan Mac diikuti Perhimpunan Agung Umno pada pertengahan bulan, akan menyempitkan ruang berkempen.

Mulanya mereka mendakwa Umno akan cuba untuk memastikan pengundi 18 tahun tidak berpeluang menyertai pilihan raya negeri terbabit.

Namun barangkali mereka menyedari bahawa Umno sebenarnya tidak peduli, malah mungkin begitu yakin dan percaya bahawa mereka mampu meyakinkan para pengundi 18 tahun untuk mengundi Umno.

Sementelahan, Umno Johor sudah sedia cekap mengikat anak-anak muda negeri itu dengan pelbagai program dan aktiviti. Sebenarnya tidak sukar bagi parti tersebut untuk muncul juara di hati anak muda; apatah lagi yang ada di tanah-tanah rancangan Felda, baru sahaja habis sekolah, dan mula menunjukkan minat terhadap sukan bermotosikal.

Sebelum kita pergi lebih jauh, beberapa bulan lalu saya ada mengajukan di media sosial bagaimana Umno Johor (kalau ia cerdik) akan membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya negeri, agar dapat menguatkan cengkamannya ke atas negeri Johor, dengan membungkus parti Bersatu dan kemudiannya diikat tepi.

Sewaktu itu, Pilihan Raya Negeri Sarawak sedang berlangsung. Umno Johor tidak berkempen di Sarawak. Malah, tidak ada Umno di Sarawak. Sebaliknya DAP dan PKR, masing-masing bertungkus lumus di Bumi Kenyalang, berkempen di negeri seluas Semenanjung Malaysia, dan akhirnya kecundang hampir semua.

Umno Johor, pada saya; sepatutnya mengambil peluang itu untuk memulakan gerak kerja di kerusi-kerusi terpilih dan menyebarkan mesejnya yang mahu mewujudkan persekitaran politik yang stabil di Johor; melalui majoriti yang lebih meyakinkan, dengan Speaker yang bukan dari parti pembangkang. 

Kerajaan Negeri Johor yang dipimpin Hasni Mohammad, ditadbir oleh BN-PN dengan majoriti satu kerusi sahaja. BN 16 kerusi, PN 12 kerusi, manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi. Kerusi Speaker masih diduduki oleh Suhaizan Kayat, dari Amanah.

Meski parti-parti pembangkang masih dikira boleh bekerja dengan pentadbiran Hasni, kelebihan sekadar satu kerusi itu, dilihat membimbangkan sesetengah pihak yang (kalau boleh) mahu majoriti yang lebih kukuh.

Jadi bagaimanakah caranya untuk mendapatkan majoriti lebih besar?

Mengambil contoh PRN Sabah, Melaka dan Sarawak

Dalam pilihan raya negeri, pengundi selalunya cenderung memilih parti kerajaan. Tidak kiralah betapa mengelirukan pun kombinasi parti kerajaan itu, dan betapa terpecahnya pola pengundian; keadaan ini akan memberi kelebihan kepada parti pemerintah di peringkat pusat.

Kita telah melihat bagaimana strategi ini dilakukan di Sabah setelah usaha merampas kuasa gagal dilaksanakan. Kempen yang dipimpin Shafie Apdal nampak bergaya, sambutan yang diberikan kepada wakil-wakil pimpinan Pakatan Harapan juga tidak kurang hebat.

Pernyataan keliru tentang parti BN dan PN juga tidak sedikit, kerana warna benderanya yang hampir sama.

Namun akhirnya Warisan kecundang. Tiada ombak perubahan untuk ditunggangi kali ini, bahkan peluang perubahan sudah pun berlalu, disambut dengan pengkhianatan pada skala besar yang telah dengan entah apa cara, berjaya mencuri sokongan penduduk Sabah daripada parti Warisan dan PH. Tetapi DAP dilaporkan menang di kawasan-kawasan yang sebelum ini dianggap sukar.

Di Melaka pun serupa. Setelah letih bermain strategi dan mengutip ‘katak-katak berprinsip’ sebagai andalan bagi membentuk sebuah kerajaan, sang katak pun habis semuanya arwah di peti undi.

Ditambah dengan faktor rendahnya peratus keluar mengundi, pertelagahan dalaman parti-parti pembangkang, pengundi luar tidak pulang; PKR langsung tidak menang sebarang kerusi di Melaka.

Malah, Umno pula yang kembali menang bergaya setelah jatuh tersungkur dalam PRU14 yang lalu.

Mengambil pengajaran daripada kemenangan di Melaka, mulalah kedengaran cadangan untuk Johor pula mengambil langkah serupa untuk membubarkan DUN.

Setelah GPS menang besar di Sarawak, gendang pembubaran pun dipalu. Asasnya mudah sahaja: untuk BN menang bergaya, pengundi luar tidak boleh dibiarkan pulang, pengundi tempatan tak perlu lah keluar beramai-ramai, lagipun bukankah negara sedang dilanda wabak Covid-19.

Dan lebih penting lagi, kerana Covid, tidak boleh lah berceramah perdana, hatta dari rumah ke rumah pun tidak boleh. Semuanya pakai media sosial sahaja.

Formula inilah yang menjadi pedoman Umno-BN untuk mereka kembali berkuasa, dan kini mendesak supaya PRU15 diadakan tahun ini juga. 

Nasib DAP di tangan Undi18

Seorang teman aktivis DAP baru sekejap tadi memberitahu bahawa parti itu akan dikejutkan dengan begitu biadab sekali (beliau gunakan istilah ‘rude shock’) apabila ia menyedari bahawa parti-parti lain sudah jauh meninggalkannya dalam lapangan kempen terhadap pengundi baharu, terutamanya yang bakal didaftar secara otomatis.

Parti-parti lain sebenarnya sedang memecut laju dalam membina kerangka mesej untuk pengundi 18 tahun, sedangkan DAP katanya, masih mengekalkan cara lama kerana parti itu mengandaikan seluruh generasi muda adalah secara ‘default’ menyokongnya.

“Orang lain sedar mereka dinosaur, jadi mereka guna wasilah atau kenderaan lain untuk mencapai golongan sasaran baharu ini,” kata beliau.

“DAP pula mengandaikan orang muda memang sudah sedia bersama mereka. Padahal kita tidak tahu pun ada yang anak muda suka, tidak suka, apa yang mereka benci dan apa yang memujuk mereka untuk bertindak,” tambahnya lagi.

“Seperti jurujual Facebook yang cuba meyakinkan dirinya bahawa ia boleh mencapai generasi Tik Tok.”

Sebenarnya saya pun sudah muak dengan Facebook, yang menjadi wahana utama kempen DAP sejak bertahun lama.

Facebook kini dipenuhi warga emas, yang selain berkongsi maklumat palsu di aplikasi WhatsApp, turut menghabiskan masa di Facebook, menulis komen di hantaran entah siapa-siapa dengan nasihatnya yang konon sudah lebih lama makan garam.

Lihat sahaja bagaimana warga Facebook menulis komentar panjang tentang isu semasa dengan penuh yakin, padahal dia sebenarnya tak tahu yang mana ekor yang mana kepala pun. Tetapi kerana boleh menyorok di sebalik skrin telefon, dia tekan sahaja apa yang dia mahu katakan.

Generasi hari ini sudah lama meninggalkan Facebook dan meluangkan masa di TikTok, aplikasi yang kita lecehkan sebagai tempat menonton tarian gelek gerudi.

Tik Tok pasca Covid menjadi sumber maklumat utama untuk berkongsi apa sahaja, termasuk perkembangan berita, resepi, dan pandangan politik, meski tak sampai seminit. Ia menjadi tempat warga malas membaca untuk menyaksikan pendapat dilukiskan dengan kata-kata dan memek muka yang sewajarnya, diiringi muzik yang sesuai.

Tidaklah saya katakan DAP belum berusaha mencapai generasi pengguna TikTok ini yang sudah hampir bergelar pengundi.

Tetapi katakanlah Hasni si MB Johor mengumumkan DUN Johor bubar esok lusa, atau lebih sakit lagi di tengah bulan Ramadan; apakah isu yang akan DAP jual di media sosial, TikTok terutamanya.

Kalau saya jadi Hasni, memang hari Nuzul Al-Quran lah saya umum bubar DUN. Dengan tempoh kempen bermula dua minggu selepas 1 Syawal, saya boleh buat kenduri rakyat besar-besaran dan edar makanan dengan semangat Aidilfitri ke seluruh pelosok negeri Johor. 

Nak bagi duit raya dalam sampul tebal pun tak ada orang persoal. Nak serang menyerang sesama Melayu Islam? Eh, tak hormat musim lebaran dan bermaafan sesama kita? Boleh jual idea perpaduan ummah.

Eh, alangkah meriahnya kalau PRN Johor berlangsung pada bulan Syawal. Muda nak bertanding mana? – 15 Januari, 2022.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen