Bersatu atau kekal sebagai pembangkang selama-lamanya, kata Dr Mahathir


Looi Sue-Chern

Para pemimpin Pakatan Harapan diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad (tengah) semasa Konvensyen PH 2018 di Pulau Pinang, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 5 Februari, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) Pulau Pinang mengadakan konvensyen pertamanya di sini tetapi masih berdiam diri mengenai bagaimana 40 kerusi di negeri dikawal pakatan itu akan dibahagikan kepada empat parti.

Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad memberi ucapan selama 30 minit, memohon DAP, Bersatu, Amanah dan PKR bersatu untuk menawan Putrajaya atau ia akan gagal pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau merayu kepada semua parti agar menerima calon yang dipilih untuk mewakili PH dalam pilihan raya, tanpa mengira dari mana mereka datang.

Utamakan PH

Dr Mahathir berkata adalah perkara biasa bagi mereka yang tidak dipilih untuk bertanding di kerusi dirasakan berhak berasa kecewa.

Beliau berkata apa yang penting adalah memenangi kerusi, bukan sekadar bertanding dalam PRU14.

“Apa gunanya menjadi calon tetapi akhirnya hilang kerusi?” katanya pada konvensyen di SP Arena di Seberang Jaya.

“Jika kita tidak menjadi calon, tetapi menyokong calon yang dipilih, akan ada peluang lebih besar bagi kita untuk ke Putrajaya ... Untuk menang, anda mesti menyokong sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon PH.

“Jika anda terus berfikir ‘kerusi ini saya punya dan jika saya tidak dapat, saya tidak akan menyokong calon’, maka itulah cara yang pasti untuk kalah.

“Saya telah memberitahu parti saya sendiri, Bersatu yang akan ada kerusi kita tidak akan dapat, tetapi selagi calon itu daripada PH, kita akan menyokong sepenuhnya orang itu.”

Ahli setiap parti PH perlu mengetepikan kesetiaan mereka kepada parti masing-masing dan meletakkan PH sebagai keutamaan mereka, katanya.

Apabila keputusan dibuat mengenai bagaimana kerusi dibahagikan, semua parti dan ahli mesti menerimanya, kata beliau.

Bersatu, PKR, DAP dan Amanah membentuk PH, gabungan baru pembangkang yang akan menentang Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam PRU14. Inilah kali pertama empat parti itu bertanding sebagai satu gabungan.

Ia dilaporkan secara meluas yang gabungan itu menghadapi masalah dalam menyelesaikan peruntukan kerusi negeri di antara empat parti, termasuk di Selangor dan Pulau Pinang yang dikuasai oleh PH.

“Ramai, termasuk pihak media, bertanya kepada saya mengapa parti PH tidak bersetuju mengenai hal ini dan itu, iaitu peruntukan kerusi. Ia tidak betul.

“Kami sudah menyelesaikan peruntukan kerusi Parlimen, yang merupakan pencapaian besar,” kata Dr Mahathir.

Pembahagian kerusi persekutuan di kalangan parti di Semenanjung diumumkan pada konvensyen nasional gabungan itu bulan lalu.

Dr Mahathir juga berkata PH melakukan lebih baik berbanding Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS sebelum parti Islam itu berbalah dengan dua parti yang lain.

Sebahagian penyokong yang menghadiri Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Pulau Pinang, semalam. Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang menyaksikan keempat-empat anggotanya bertanding di bawah satu gabungan. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 5 Februari, 2018.

PR hanya menyertai gabungan itu sebelum PRU13 diadakan, kata Dr Mahathir, dan masa yang singkat bagi ketiga-tiga parti bersama sebagai pakatan menyebabkan ia kurang bersatu.

“Tetapi PH diumumkan lebih awal sebelum PRU14. Kita mencapai kerjasama lebih awal. Kita juga mempunyai konvensyen kebangsaan.

“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini (bagi parti pembangkang). Kita telah mencapai perpaduan. Hanya dengan perpaduan, kita akan dapat berjaya.”

Masih ada masa untuk membetulkan “pergeseran kecil” dalam PH, katanya.

Masa untuk gulingkan BN

Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri dari 1981 hingga 2003, sebelum ini berkata beliau tidak takut kepada parti pembangkang setiap kali mengetuai BN dalam pilihan raya kerana tidak ada perpaduan di kalangan mereka.

Beliau yang kelihat tidak begitu sihat, dilihat batuk beberapa kali sepanjang ucapannya, tetapi itu tidak menghalangnya daripada mengulangi mesej yang PH mesti menggantikan BN.

“Kita tidak mahu menjadi pembangkang. Kita juga mahu menjadi kerajaan. Kita boleh melakukannya jika kita menegakkan prinsip PH dan menghantar hanya satu calon untuk setiap kerusi.

“Selagi kita gagal bersatu, pembangkang akan terus menentang dan itu sahaja.”

Beliau juga menekankan pentingnya mempunyai calon yang tepat untuk mewakili PH.

PH perlu memperolehi kumpulan pengundi lebih besar yang tidak komited kepada parti tetapi sokongannya penting, katanya.

“Untuk menang, kita perlukan undi mereka. Kita perlu tahu dan mempertimbangkan pilihan mereka. Mereka mungkin suka calon tertentu, yang mungkin kacak atau baik.

“Semua orang popular dengan sesetengah pihak, tetapi tidak semuanya. Saya juga seperti itu, kerana saya pernah dipanggil ‘Maha Zalim’, ‘Mahafiraun’. Dalam politik, anda akan mendapat  segala macam gelaran.

“Kita perlu menjalankan culaan untuk melihat siapa yang popular di kalangan parti kita dan di kalangan rakyat untuk meletakkan calon yang tepat.” – 5 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kalau join PH pon pembangkang akan terus kekal sbgi pembangkang gak..sbb rakyat dah muak dgn mainan politik kotor pembangkang ni..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan