Aktivis, ahli akademik gesa beli semua tanah rizab Melayu


Mohd Farhan Darwis

Konvensyen Tanah Melayu 2022 gesa ia dibuat ke atas harta yang dijual atau dipindah milik tanpa sah untuk melindungi harta berkenaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Januari, 2022.

KERAJAAN patut membeli semula tanah rizab Melayu yang dijual atau dipindah milik tanpa sah untuk melindungi harta berkenaan, kata aktivis dan ahli akademik.

Pembelian itu pula boleh dibuat melalui pengeluaran sukuk atau saham, dana khas kerajaan dan juga tindakan melalui kementerian khas, kata mereka dalam satu konvensyen khas hari ini.

Salah seorang pembentang, profesor harta tanah Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Ismail Omar mencadangkan ia boleh dibuat dengan modal dari kalangan orang Melayu.

“Kita boleh guna sukuk atau saham, kita ada 18 juta umat Melayu Islam.

“Saya merasakan kalau kerajaan tidak beri keutamaan kepada pembangunan tanah rizab Melayu mereka kena beri peluang penduduk dan rakyat laksanakan.

“Kita boleh lakukan dengan kerajaan memberikan bantuan dengan kurangkan karenah birokrasi, kurangkan premium tanah dan relaksasi, kalau itu berlaku, tiada masalah,” katanya.

Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama) itu menjelaskan demikian daam kertas kerjanya di Konvensyen Tanah Melayu 2022, anjuran Yayasan Pembela Muslim hari ini.

Mengulas perkara sama, Pengerusi Pembela Aminuddin Yahaya berkata, kerajaan berupaya membeli balik tanah-tanah tersebut yang mempunyai kepentingan kepada orang Melayu.

“Tanah yang diambil oleh pihak asing tak mustahil untuk kerajaan beli balik, senang dan boleh sahaja (dilakukan).

“Mana-mana tanah berkepentingan untuk orang Melayu, contohnya di seluruh Jalan Ampang, di Bukit Bintang, ini area strategik yang boleh dibangunkan untuk orang Melayu,” kata Aminuddin.

Pengerusi Pembela Aminuddin Yahaya berkata, kerajaan berupaya membeli balik tanah-tanah tersebut yang mempunyai kepentingan kepada orang Melayu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Januari, 2022.

Aminuddin mencadangkan agensi kerajaan seperti Lembaga Tabung Haji boleh menggunakan dana mereka membangunkan tanah untuk membantu orang Melayu mendapatkan semula tanah tersebut.

“Tabung Haji boleh jadi agensi yang mengetuainya. Bangunkan rumah, bukan buat hotel,” katanya yang pernah mengemukakan cadangan tersebut kepada Tabung Haji.

Bagi tujuan sama, satu lagi resolusi konvensyen itu menggesa kerajaan menubuhkan Bank Tanah Melayu dengan peruntukan sekurang-kurangnya RM5 bilion sebagai permulaan.

Selain itu, ia menggea kerajaan menubuhkan kementerian khas bagi hal ehwal tanah, hak pribumi dan lembaga amanah tanah rizab Melayu.

Ia turut bertujuan menyediakan dana bagi memajukan tanah rizab Melayu selain membeli semula tanah rizab Melayu yang terjual dan tergadai diambil tanpa sah oleh pihak-pihak tertentu.

Selain itu, mereka juga menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja, terdiri daripada pakar perundangan dan ekonomi dari pelbagai aspek, bagi menyemak dan melindungi tanah rizab Melayu.

Profesor harta tanah Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Ismail Omar mencadangkan ia boleh dibuat dengan modal dari kalangan orang Melayu.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Januari, 2022.

Kerajaan juga kata mereka perlu membentuk bank data yang menyiasat punca dan data sebenar tanah rizab Melayu yang diambil pihak tak bertanggungjawab yang tidak diganti sehingga hari ini.

Resolusi konvensyen turut menuntut mekanisme sesuai diwujudkan untuk mengganti tanah rizab Melayu yang hilang.

Kata mereka, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak ke atas pihak yang terlibat menggadaikan tanpa sah, menjual dan menceroboh tanah rizab Melayu.

Resolusi itu turut menggesa pindaan enakmen tanah rizab Melayu di negeri-negeri dan penubuhan Akta Tanah Rizab Melayu bagi membolehkan mereka yang terlibat si bawa ke muka pengadilan.

Pengkaji Sejarah Tanah Melayu Zaharah Sulaiman pula membuat pembentangan bertajuk “Tanah Melayu: Sejarah dan Ancaman.” – 8 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen