Kutipan zakat Kedah meningkat tahun lepas, kata LZNK


Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah Syeikh Zakaria Othman berkata peningkatan itu menunjukkan tiada kesan ketara terhadap kutipan zakat di negeri ini walaupun dalam situasi pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2022.

JUMLAH kutipan zakat di negeri Kedah pada tahun lepas meningkat hampir RM13 juta iaitu kepada RM241 juta, berbanding RM228 juta pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Syeikh Zakaria Othman berkata peningkatan itu menunjukkan bahawa tiada kesan yang ketara terhadap kutipan zakat di negeri ini walaupun dalam situasi pandemik Covid-19.

“Ini menunjukkan andaian bahawa pusat-pusat zakat di negara ini kemungkinan mencatatkan penurunan jumlah kutipan zakat tidak berlaku dan ini merupakan satu petanda yang baik.

“Mungkin juga peningkatan kutipan ini didorong oleh dasar kerajaan yang membenarkan perniagaan kembali beroperasi dan jika momentum ini berterusan, kutipan zakat pada tahun ini juga tidak akan terkesan (dengan pandemik Covid-19),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Bengkel Jahitan Asnaf Zakat Kedah Daerah Sik di Sik hari ini.

Katanya, LZNK meletakkan sasaran kutipan zakat yang tinggi setiap tahun dan meskipun tidak mencapai sasaran itu, kutipan zakat tahun lepas melebihi kutipan pada tahun sebelumnya.

Menurut Syeikh Zakaria kutipan zakat perniagaan pada tahun lepas juga menyaksikan peningkatan kepada sebanyak RM49.5 juta, daripada RM47.9 juta yang dikutip pada 2020.

Sementara itu, beliau berkata LZNK bercadang mewujudkan dua lagi bengkel jahitan asnaf, iaitu di Pokok Sena dan Padang Terap bagi memberi lebih banyak peluang kepada golongan itu untuk mempelajari kemahiran menjahit dan seterusnya menjana pendapatan sendiri.

Pada masa ini, selain di Sik, dua lagi bengkel jahitan itu turut dibuka di Alor Setar dan Sungai Petani. – Bernama, 4 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen