Harga alat tulis naik 40%


Angie Tan

Harga alat tulis meningkat 5% hingga 40% sejak Oktober berikutan kos bahan mentah seperti plastik dan logam yang tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2022.

HARGA alat tulis meningkat sebanyak 5% hingga 40% sejak Oktober disebabkan kos bahan mentah seperti plastik dan logam yang tinggi.

Tinjauan The Malaysian Insight mendapati harga buku menulis naik 35%, mata pisau 25%, fail 15%, pen 10%, dan pengokot 5%.

Kekurangan bahan mentah dan masalah logistik mendorong pengeluar menaikkan harga.

Pemilik kedai alat tulis Choo Kit Meng berkata barangan seperti gam juga sudah mula naik harga.

“Menurut pengilang, salah satu bahan mentah kehabisan stok, jadi harga mula meningkat 30-40%.”

Beliau berkata harga barang yang akan masuk juga telah meningkat 50%.

“Saya selalunya tunggu stok baru masuk. Selepas dikira, jika kos terlalu tinggi, saya akan selaraskan harganya, jika tidak saya akan serap sendiri sebanyak mungkin.”

Kedai alat tulisnya dibuka sejak enam tahun ;a;i di Setia Alam, Selangor dan pelanggannya termasuk pelajar tadika hingga sekolah menengah, serta pekerja pejabat.

Walaupun harga sewa juga meningkat akibat pandemik Covid-19, Chow cuba mengekalkan harga produknya serendah mungkin demi kepentingan pelanggan.

Tambahnya, alat tulis di kedai itu dibeli melalui pemborong tempatan yang kebanyakannya mendapatkan barangan dari luar negara, seperti China dan Jepun.

Karen Chan yang memiliki kedai alat tulis di Johor Bahru berkata kedainya masih mempunyai stok yang dijual pada harga lama. 

Bagaimanapun, beliau mengakui kos barangan baharu meningkat.

Beliau menganggarkan harga alat tulis di kedainya akan naik 10-20% sebaik saja stok baharu masuk.

Beliau menjangkakan harga akan terus meningkat sebelum sesi persekolahan 2022 bermula.

“Jadi saya sudah pun memaklumkan kepada beberapa pelanggan tetap jika mereka ada anak, mereka perlu beli alat tulis sekarang untuk jimatkan perbelanjaan sekolah.” – 3 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen