Wajib pakai pelitup muka ke sekolah, dilarang hadir jika bergejala


Kerajaan akan membantu membekalkan pelitup muka tersebut kepada pelajar yang kurang mampu, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin. – Gambar oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, 12 September 2021.

SEMUA pelajar diwajibkan memakai pelitup muka apabila hadir kesekolah apabila sesi persekolahan bermula bulan depan, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Kerajaan akan membantu membekalkan pelitup muka tersebut kepada pelajar yang kurang mampu.

“Untuk murid dari sosioekonomi rendah kita akan ikhtiar bekalkan pelitup muka untuk mereka di sekolah, akan bekal kepada guru,” katanya.

Ia merupakan antara ketetapan baharu bagi pelajar yang akan mula hadir ke sekolah semula secara giliran bermula bulan depan, katanya.

Tambahnya, kerajaan menggalakkan kipas digunakan dalam bilik darjah bagi memastikan pengaliran udara lebih baik untuk mengelak jangkitan Covid-19.

Pelajar bergejala pula dilarang ke sekolah dan Pejabat Kesihatan Daerah akan menilai tindakan seterusnya sekiranya berlaku jangkitan di sekolah terbabit, katanya lagi.

Bagi pelajar di asrama pula, ujian Covid-19 akan diadakan sebaik mula masuk sekolah dan selama dua kali lagi selepas setiap sela masa seminggu.

Radzi juga berkata, pelajar akan diberi kelonggaran untuk memakai pakaian yang sesuai dan sopan ke sekolah sekiranya pakaian seragam tidak lagi dapat dipakai, termasuk jika ketat atau lusuh.

“Boleh pakai pakaian yang sesuai tapi jangan jadi pertunjukan fesyen pula di sekolah,” katanya.

Beliau juga berkata, pelajar tidak dianggap melakukan kesalahan disiplin sekiranya ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak tesebut ke sekolah.

Bagaimanapun, ibu bapa berkenaan perlu menulis surat untuk memaklumkan sebab pelajar tidak hadir, katanya.

Tambahnya pada waktu rehat, murid perlu makan di dalam kelas dengan seliaan guru.

Pelajar dalam kelas menggunakan penyaman udara pula perlu makan di ruang terbuka dengan seliaan guru, katanya lagi.

Terdahulu beliau mengumumkan langkah membuka semula sekolah di seluruh negara bermula 3 Oktober, antaranya dengan kehadiran 50% di bilik darjah secara giliran.

Sekolah negeri Fasa 1 bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagaimanapun akan tetap ditutup dan akan menjalankan pembelajaran di rumah, katannya. – 12 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen