Sekolah dibuka 3 Oktober dengan 50% kapasiti, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Pelajar akan bergilir-gilir menghadiri kelas secara bersemuka. – Gambar oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, 12 September, 2021.

SEKOLAH di seluruh negara akan dibuka bermula 3 Oktober dengan 50% kapasiti di bilik kelas, umum Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Pada satu sidang akhbar di Putrajaya, Radzi bagaimanapun berkata, sekolah di negeri fasa 1 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan tetap ditutup.

Beliau turut menjelaskan pelajar di negeri fasa 2 hingga fasa 4 akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan menghadiri kelas bersemuka secara bergilir-gilir.

“Kami akan memecahkan kelas kepada dua kumpulan dan kami melakukannya untuk semua kelas jadi hanya 50% pelajar akan berada di sekolah. Pelajar akan bergilir-gilir menghadiri kelas.

“Sebagai contoh, kumpulan A akan hadir ke sekolah secara bersemuka selama seminggu dan kumpulan B akan belajar dari rumah. Pada minggu berikutnya, kumpulan B akan hadir secara bersemuka manakala kumpulan A belajar dari rumah.”

“Kami melakukan ini kerana anak-anak kita sudah lama tidak bersekolah dan kami mahu mereka menempuhi norma baharu selain pada masa sama kami mahu mereka selamat,” katanya.

Sesi persekolahan secara bersemuka dengan kaedah penggiliran murid secara mingguan dapat mengurangkan kapasiti di dalam kelas sekali gus mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di sekolah.

Radzi berkata, kaedah penggiliran juga dapat membantu guru membuat pengawalan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan murid memandangkan jumlah mereka dikurangkan 50%.

“Ini satu kaedah dan pendekatan baharu yang diambil daripada pandangan semua pihak untuk mencari jalan terbaik memastikan anak-anak dapat kembali ke sekolah dengan selamat,” katanya.

Katanya di sekolah, guru akan mengajar murid topik penting dan utama serta menjelaskan kepada murid perkara yang perlu dilakukan pada minggu mereka melaksanakan PdPR termasuk menyediakan bahan serta melalui TV pendidikan iaitu Didik TV.

Bagaimanapun, Radzi berkata terdapat pengecualian penggiliran murid diberikan berdasarkan fasa, iaitu membabitkan murid berkeperluan khas, tingkatan 6 semester dua, murid di sekolah asrama penuh, murid kelas peperiksaan antarabangsa, murid prasekolah, tadika swasta, pusat perkembangan minda (4 hingga 6 tahun) dan sekolah kurang murid.

Sesi persekolahan secara bersemuka bermula 3 Oktober ini akan dijalankan mengikut fasa dalam PPN negeri.

Buat masa ini, negeri yang diletakkan di bawah fasa 1 PPN adalah Kedah dan Johor, fasa 2 (Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Sabah), fasa 3 (Perlis, Negeri Sembilan, Sarawak) dan fasa 4 adalah Labuan. – 12 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen