PARTI Kuasa Rakyat boleh menarik undi bukan Melayu kepada Barisan Nasional jika dibenarkan menjadi sebahagian daripada kerjasama politik itu, kata Presiden sementaranya Kamarazaman Yaakob.
Katanya, partinya boleh melakukan kerja-kerja MCA dan MIC, yang kedua-duanya gagal menunjukkan prestasi terbaik dalam beberapa pilihan raya umum lepas.
Kuasa Rakyat juga boleh mengisi kelompangan ditinggalkan Gerakan sebagai parti komponen pelbagai kaum dalam BN.
“Selepas Gerakan keluar BN (selepas PRU14), parti dalam BN semuanya berasaskan kaum. Dalam situasi ini, ada kumpulan masyarakat dalam negara pelbagai kaum ini yang tidak dapat ditarik BN.
“Ini terbukti dengan MCA dan MIC yang gagal menarik pengundi bukan Melayu pada PRU lepas. Kita lihat kejayaan MCA dan MIC di kawasan majoriti Melayu dan bukannya di kawasan bukan Melayu.
“Terutamanya MCA yang bertanding di tengah bandar di mana majoriti pengundi adalah Cina, prestasi mereka sangat teruk, hampir hilang duit deposit (pilihan raya) di sesetengah kawasan.
“Mudah difahami dan jelas yang kedua-dua parti ini nampaknya tidak mampu mewakili kaum mereka sendiri.
“Jadi, di sinilah Kuasa Rakyat akan memainkan peranannya dalam mempengaruhi dan meraih sokongan pengundi bukan Melayu di kawasan pinggir dan tengah bandar kerana kita lebih kepada kepelbagaian kaum dan memberi pilihan kepada rakyat,” kata Kamarazaman kepada The Malaysian Insight dalam satu temubual ekslusif.

Parti kaum minoriti di dalam BN hampir kesemuanya kalah teruk pada PRU14. Wakil rakyat daripada MCA di Parlimen berkurangan daripada tujuh kepada hanya seorang, MIC juga hanya menang di satu kerusi, manakala Gerakan hilang dua kerusi yang dipegangnya.
Pada 2019, menerusi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, MCA meraih satu lagi kerusi Parlimen apabila Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar. Bagaimanapun, ia dilakukan dengan kerjasama BN dan parti Islam PAS.
Parti masih tiada keputusan kerusi akan ditandingi
Kamarazaman yang juga abang kepada Perdana Menteri dan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, berkata BN memerlukan sebuah parti pelbagai kaum seperti Kuasa Rakyat untuk menarik undi bukan Melayu.
“Saya yakin yang Kuasa Rakyat boleh memainkan peranan dalam menjual ideologinya dan meraih sokongan untuk BN.
“Kuasa Rakyat akan menyumbang kepada BN kerana dua parti politik berasaskan kaum iaitu MCA dan MIC bukan lagi jaguh untuk kaum mereka sendiri.
“Inilah realiti keputusan pilihan raya,” katanya.
Kamarazaman berkata tidak seperti parti lain, Kuasa Rakyat bukan hanya pelbagai kaum di atas kertas.
Katanya, struktur parti akan membuktikan yang ia adalah parti pelbagai kaum yang sebenar.
“Struktur parti adalah presiden mempunyai lima timbalan dan lima naib pengerusi.
“Mereka terdiri daripada seorang Melayu, seorang Cina, seorang India, seorang Sabah dan seorang Sarawak. Ini jelas dinyatakan dalam perlembagaan parti.
“Jadi, inilah parti pelbagai kaum sebenar di negara ini,” katanya.
Menurutnya lagi, parti itu sudah mempunyai lebih 70,000 ahli dan jumlah itu semakin bertambah.

Parti itu melepasi cabaran pertama pendaftaran dengan mengambil alih parti kaum India yang berusia tiga tahun- Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira).
Mira meluluskan pengambil alihan itu pada perhimpunan agung tahunn dijalankan 19 Disember lepas.
Ditanya tentang rancangan parti untuk PRU15, Kamarazaman berkata ia masih belum diputuskan kerana statusnya sebagai parti komponen BN masih tidak diketahui.
Beliau bagaimanapun menambah yang Kuasa Rakyat akan bekerja untuk BN walaupun mereka tidak menjadi sebahagiannya, kekal teguh dengan pendirian mereka untuk menjadi parti mesra BN.
“Jika kami menjadi parti komponen, kepimpinan (BN) akan memutuskan peruntukan kerusi untuk kami. Perkara ini boleh dibincangkan. Perkara terpenting sekarang adalah untuk menjadi parti komponen.
“Pelan kami adalah untuk tidak mensasarkan kawasan majoriti Melayu tetapi kami akan bergerak di kawasan pelbagai kaum.
“Kami masih tidak pasti jika kami diterima untuk menjadi sebahagian daripada BN tetapi jika tidak dapat, kami akan gerakkan ahli-ahli untuk buat kerja pilihan raya untuk BN kerana seperti yang kami kata tadi, kami mesra BN,” tambahnya. – 2 Januari, 2022.
Komen