PARTI Kuasa Rakyat (Kuasa Rakyat) yang baharu sahaja dilancarkan berjaya mengharungi cabaran pertama untuk mendaftar secara rasmi dengan mengambil alih Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) yang berusia tiga tahun.
Mira meluluskan pengambilalihan itu pada persidangan agung tahunannya pada 17 Disember lepas.
Susulan pengambialihan itu, Mira akan menukar namanya kepada Kuasa Rakyat. Pengasas Kuasa Rakyat Kamarazaman Yaakob juga dinamakan sebagai presiden Mira.
Beliau dan barisan kepimpinannya akan secara rasmi mengambil alih teraju selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan penukaran nama dan perlembagaan Mira.
“Mira telah bersetuju untuk menerima saya sebagai presiden dan menukar namanya daripada Mira kepada Kuasa Rakyat,” kata Kamarazaman kepada The Malaysian Insight.
Pada 10 Oktober lalu, Kamarazaman yang juga abang Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Kuasa Rakyat, berkata ia adalah parti mesra kerajaan dan pelbagai kaum.
Beliau turut berkata, pada majlis sama, yang mereka sudah mencapai persefahaman dengan sebuah parti politik untuk mengubah nama dan kepimpinannya, tetapi tidak menamakan parti tersebut.
Presiden Mira KP Samy ketika dihubungi TMI juga mengesahkan pengambilalihan itu.
Tambahnya, beliau juga akan dilantik ke dalam barisan kepimpinan baharu di bawah Kamarazaman.
“Ada dua usul diluluskan. Majlis Tertinggi Mira selepas AGM sebulat suara meluluskan perubahan nama serta pelantikan Kamarazaman sebagai presiden.
“Parti masih status quo. Sekarang ia adalah Mira. Beliau adalah presiden dan saya turunkan diri menjadi timbalan,” kata Samy lagi.
Menurutnya, mereka akan menghantar semua dokumen diperlukan kepada RoS untuk permohonan penukaran nama.
Mira mendapat kelulusan rasmi RoS untuk beroperasi sebagai parti politik pada 2019.
Ia mesra kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi menjadi Bebas selepas kerajaan PH tumbang pada 2020.
Sementara itu, Kamarazaman berkata beliau berharap Kuasa Rakyat akan menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) sebagai sahaja urusan penukaran nama dan perlembagaan dengan RoS disiapkan.
Sumber Mira berkata perubahan perlembagaan parti termasuklah mewujudkan jawatan tambahan timbalan presiden dan naib presiden.
“Dengan cara ini, pemimpin Mira akan dapat diserap masuk ke dalam kepimpinan Kuasa Rakyat,” kata sumber pemimpin parti itu lagi. – 26 Disember, 2021.
Komen