Seminggu di Sri Nanding


Zulfadzli Halim

Taman Sri Nanding antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2022.

AHAD senja saya tiba di KLIA setelah hampir tiga minggu di Sarawak. Walaupun di seberang laut, saya mengikuti bencana banjir kali ini dengan rapat. Segala persiapan perlu telah dibuat melalui WhatsApp untuk mengatur gerak kerja membantu mangsa banjir. 

Ini bukan kali pertama saya dan pasukan sukarelawan turun ke kawasan bencana. Pada 2014, kami menggerakkan pusat pengumpulan barang di Dewan Bandar Utama 3, Petaling Jaya 24 jam selama lebih seminggu dengan bermodalkan pemula hanya RM1,000, setelah melihat kegagalan pihak berkuasa membantu mangsa banjir di Kelantan dan Pahang. 

Kali ini saya akan kongsikan sedikit sebanyak pengalaman dan susun atur misi dan keperluan membantu mangsa banjir.

Sekitar 2015, saya dan rakan-rakan NGO lain telah meminta taklimat pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk memberi gambaran bagaimana operasi bantuan dalam dilakukan dengan lebih lancar, dan mampu memberi sokongan kepada pihak berkuasa. 

Ketika itu, kami dimaklumkan segala usaha menyelamat tidak boleh dilakukan oleh orang awam, apatah lagi yang tidak terlatih. 

Pihak berkuasa telah memastikan rantaian arahan dari ketua kampung hingga ke pihak atasan sentiasa jelas dan sentiasa terhubung. 

Namun 2021, selepas pelancaran bulan kesiapsiagaan, nampaknya masih berterabur sehingga rakyat sendiri terpaksa melakukan usaha penyelamat. 

Saya tidak mahu menunding jari, tapi nyata yang gagal tetap gagal.

Salah seorang penduduk Taman Sri Nanding di dalam rumahnya yang dinaiki air semasa banjir pada 19 Disember lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2022.

Pagi Isnin, saya dan rakan-rakan berbekalkan RM600 telah membeli keperluan makanan untuk masuk ke kawasan-kawasan bencana. 

Tibanya di Taman Sri Nanding, Hulu Langat kelihatan wajah lesu para penduduk. Walaupun sudah ada pasukan sukarelawan lain yang hadir, namun ketiadaan air dan elektrik menyukarkan usaha pembersihan. 

Kami berkenalan dengan ketua Rukun Tetangga tempatan untuk lebih memahami keadaan dan keperluan setempat. Kemudian kami ke Gudwara Petaling Jaya dan ke Batu Tiga, Shah Alam sebelum membuat keputusan untuk fokus membantu penduduk Taman Sri Nanding.

Taman perumahan ini besar, dengan lebih 1,000 rumah tenggelam. Kawasan ini memang selalu dinaiki air, mungkin menjadi punca ada yang tidak mahu berpindah. Alah bisa tegal biasa. 

Namun hujan lebat penutup tahun 2021 cukup luar biasa sehingga air naik setinggi bumbung. Susun atur rumah pula mengakibatkan air sukar keluar, dan meninggalkan lumpur yang tebal. 

Masalah ini berbeza dengan mangsa di Batu 16, Dusun Tua dan Sungai Lui, yang kebanyakan rumah kampung dengan jarak berselerak. Namun tetap mempunyai cabaran yang lain, misalnya ketiadaan sistem saliran dan alamat yang tidak jelas. 

Pernah kami dapat tugasan untuk membantu rumah hanya dengan petunjuk seperti kiraan lorong malah rumah yang memasang bendera sekian-sekian.

Hari Selasa, kami tiba bersama 80 sukarelawan dengan niat untuk membantu proses pembersihan. Bas ini kami sewa sendiri dan makan minum sumbangan orang awam. Cabaran pertama ialah mengeluarkan perabot yang sudah lama berendam dalam lumpur. 

Proses pembersihan belum boleh berjalan kerana tiada bekalan air. Penjana elektrik petrol yang pada asalnya dibawa untuk membantu operasi penyembur jet pun tidak berguna tanpa air. 

Kami juga difahamkan yang walaupun penduduk mendapat bantuan seperti air mineral dan mi segera, namun mereka tidak boleh memasak kerana ketiadaan air panas.

Kami bersetuju untuk memulakan ‘Dapur Halimunan’ sesuai dengan usaha kami yang tidak membawa apa-apa logo parti atau NGO.

Ketika banjir di Temerloh, kami juga membuka dapur sendiri untuk sediakan makanan untuk sukarelawan.

Makanan panas sangat penting untuk mengembalikan semangat apatah lagi dalam alam Melayu yang penuh dengan budaya makan. Dapat anak buat kenduri, masuk universiti ada kenduri, majlis tahlil arwah pun ada kenduri. 

Kita juga tidak boleh bergantung kepada restoran di kawasan bencana, perlu ambil kira bekalan makanan di pasar yang mungkin belum beroperasi atau terputus bekalan. Makanan bungkus bagus tapi selalunya sudah sejuk, nikmatnya tak sama.

Garaj kereta yang pada mulanya menjadi tempat mengedarkan keperluan dan bantuan yang kecil kini berubah menjadi dapur. Pada waktu kegemilangannya, kami masak sup tulang atas permintaan penduduk tempatan. Kami saksikan sendiri wajah muram tadi kini sedikit ceria. Usaha pembersihan terus rancak.

Rabu berjalan seperti biasa sementara Khamis, garaj kereta tadi bertambah fungsi menjadi klinik satelit yang memberikan rawatan cemas.

Mengikut pemerhatian saya, ada tiga orang yang bengkak kakinya setelah luka dan terendam dalam air dan lumpur banjir. Dua kali penduduk di situ dibawa ke hospital dengan ambulans dalam satu hari. 

Kegiatan memasak diteruskan dengan menu seadanya, menyediakan makanan untuk sukarelawan yang kami pun tidak pasti dari mana selain penduduk tempatan.

Pada hari Sabtu, bantuan seperti toto dan tilam mula masuk dalam keadaan rumah belum betul-betul bersih, dan ada risiko air basuhan jiran boleh masuk dan bertakung di rumah sendiri.

Tapi kalau tak ambil nanti rugi. Apatah lagi bila saya dapat tahu ada keluarga yang tidur atas meja makan, entah kerana trauma banjir atau katil dan tilam sudah tiada.   

Di sini penderma pun perlu fikir keutamaan mangsa, dan kerana ini saya percaya bantuan harus diuruskan oleh pihak berkuasa yang amanah.

Pengagihan secara sembrono ini sebenarnya boleh mengakibatkan iri hati dan perselisihan dalam kalangan mangsa, melainkan penderma yang menderma terus kepada mangsa dapat menjamin pengagihan yang adil. 

Jika sekadar siapa cepat dia dapat, sebenarnya cuma penderma dapat ‘keseronokkan’ dan ‘rasa cukup’ dalam hati, sedangkan tanpa sedar mewujudkan pergeseran dalam kalangan mangsa terutamanya mereka yang tidak mampu berebut mungkin atas faktor usia atau keterbatasan lain. 

Wajarnya bagi saya, daftar khas disediakan untuk pastikan yang benar-benar layak dapat bantuan, selain pengagihan yang telus.

Pada Ahad, hari terakhir kami berkhidmat di Taman Sri Nanding – ketika itu hampir keseluruhan rumah sudah siap dibersihkan, bekalan air bersih dan elektrik telah kembali berfungsi. 

Mereka telah mampu untuk masak sendiri, tapi mungkin kurang peralatan seperti dapur dan tong gas yang rosak atau hanyut di bawa arus. 

Memori dan kemesraan penduduk di sana akan kami kenang selamanya, diiringi doa agar mereka kekal kuat untuk membina semula apa yang telah hilang. – 1 Januari, 2022.

* Zulfadzli Halim seorang jurutera sebelum wabak Covid-19. Kini berkicau di Twitter menggunakan nama @bumilangit kerana tak cukup kacak untuk TikTok.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen