Banyak pilihan raya pada 2021 demi ‘kestabilan’ politik


Chan Kok Leong

Sejak pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, kerajaan mulai memperuntukkan dana sama adil kepada hampir semua ahli Parlimen, kerajaan atau pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2022.

DENGAN lebih 31,000 kes kematian Covid-19, Malaysia tidak pernah mengalami tahun yang teruk daripara segi kehilangan nyawa sejak Perang Dunia kedua, di mana dianggarkan 60,000 maut sepanjang penjajahan Jepun di Malaya dari 1941 hingga 1945.

Daripada 31,392 (setakat 28 Disember, 2021) kematian Covid-19, 98.5% berlaku pada 2021, ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin dan kemudiannya, Ismail Sabri Yaakob. Pada 2020, terdapat hanya 471 kematian Covid-19.

Walaupun kerajaan semasa, sama ada Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN), akan berkata jangkitan dan kematian Covid-19 yang tinggi tidak dapat dielakkan, kematian ini tetap dilaporkan selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Namun, apa yang tidak dapat dipertikaikan ialah kelangsungan dan ketidakstabilan politik diutamakan berbanding pengurusan pandemik dalam tempoh dua tahun lalu, menyebabkan cara pengendalian penularan virus itu amat lemah, diikuti dengan ekonomi dan terbaru, banjir.

Antara gerakan politik yang tidak perlu, tetapi berlaku pada sepanjang tahun lalu termasuk pengisytiharan darurat menyebabkan Parlimen berhenti bersidang, perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berpanjangan dan guna kuasa eksekutif untuk memberikan jawatan sebagai pertukaran kepada sokongan.

Pelantikan yang tidak wajar ni bermakna kerajaan selalu mempunyai sekumpulan pengurus yang teruk dalam membuat keputusan dasar penting.

Satu pujian yang boleh diberikan kepada kerajaan BN/PN ialah program imunisasi yang kini meliputi 97.6% daripada populasi dewasa dan 78.4% keseluruhan populasi.

Sehubungan itu, tidak mengejutkan apabila pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak baru-baru ini memilih kestabilan politik dengan mengundi BN dan Gabungan Parti Sarawak.

Dan walaupun Melaka menyelesaikan masalah ketidakstabilan politik yang melanda sejak Langkah Sheraton, politik negara masih tergantung kerana kerajaan Ismail Sabri disokong oleh lebih ramai musuh politik berbanding sekutu.

Konsesi paksa

Bagaimanapun, tidak semuanya negative tentang ketidakstabilan. Akibat daripada ketidaktentuan itu, kerajaan sekarang lebih terbuka untuk berubah, walaupun ia untuk kepentingan kelangsungan dirinya sendiri.

Misalnya, sejak pelantikan Ismail Sabri, kerajaan mulai memperuntukkan dana sama adil kepada hampir semua ahli Parlimen, kerajaan atau pembangkang. Hanya wakil rakyat pembangkang yang tidak menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan seperti Pejuang, Warisan dan Muda yang tidak menerima peruntukan sama.

Selain itu, kerajaan Ismail Sabri berjanji untuk mengubah Parlimen dengan Akta Perkhidmatan Parlimen, gubal undang-undang anti lompat parti dan menerima penyertaan pembangkang dalam perkara seperti memformulasi belanjawan negara.

Walaupun sebahagian daripada undang-undang ini masih belum dibentangkan lagi, “ketidakstabilan” itu juga menjadikan kerajaan lebih “perunding” berkenaan membentangkan rang undang-undang baharu.

Contohnya, cadangannya untuk menaikkan denda di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit.

Daripada terus membawanya ke Parlimen, kerajaan menarik balik pindaan itu pada saat akhir untuk menyemaknya semula selepas pembangkang berkata ia tidak akan menyokong perubahan berkenaan yang antara lain akan menaikkan denda kerana melanggar SOP Covid-19. – 1 Januari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen