Pakatan desak penjelasan mengenai pengurusan banjir


Ragananthini Vethasalam

Bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini membuka mata mengenai realiti perubahan iklim dan aktiviti manusia terutamanya pembalakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2021.

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) sekali lagi menuntut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Kabinetnya memberikan penjelasan terperinci mengenai pengurusan banjir dalam sidang khas Parlimen.

“Pada masa yang sama, kami berpandangan kerajaan mesti menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja, selaras dengan titah baginda bagi bedah siasat banjir termasuk di Sabah dan Sarawak,” kata majlis itu dalam satu kenyataan.

Ia berkata bedah siasat itu akan mendedahkan kelemahan dalam perancangan dan kelewatan pelaksanaan yang boleh diselesaikan termasuk isu diketengahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, seperti pertukaran status enam bidang tanah yang dirancang untuk kolam tadahan banjir bagi pembangunan.

Majlis itu berkata pengguna media sosial mengecam Kabinet kerana tindakan mereka yang perlahan dan berpura-pura, bukannya membantu mangsa.

“Adalah menyedihkan melihat kesan banjir besar dari segi kerugian harta benda dan nyawa 50 orang,” katanya.

Bencana itu membuka mata mengenai realiti perubahan iklim dan aktiviti manusia terutamanya pembalakan.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Ketua Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Wilfred Madius Tangau daripada Upko. – 31 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen