Refleksi 2021: Covid-19, banjir dan pendidikan


ZF Zamir

TAHUN 2021 adalah tahun paling mencabar buat anak-anak sekolah kita.

Tahun sebelumnya, anak kita “hilang pembelajaran” hampir enam bulan ketika sekolah ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada Januari 2021, Untuk Malaysia yang ditubuhkan untuk fokus pendidikan anak pasca pandemik menerima sekitar 1,500 permohonan murid cicir. Permohonan ini dibuat ibu bapa, abang dan kakak serta saudara mara kepada anak yang masih belum boleh membaca lancar pada umur 7 hingga 12 tahun.

Pada Mac 2021, Untuk Malaysia memulakan kelas mingguan #KitaBaca sebagai sebahagian dari kempen “Selamatkan Murid Cicir”, sebuah kelas membantu anak kategori cicir ini belajar membaca menggunakan teknik “Read Aloud & Story Scribble” yang dikembangkan pengasas KinderKaizen, Dr Putri Afzan Maria.

Hampir 350 anak dari umur 7 hingga 12 mengikuti kelas ini dengan hampir 150 sukarelawan Changemaker mengajar di seluruh negara termasuk di Felda Chuping, Perlis; Kuala Muda, Kedah serta Gerik di Perak. 

Untuk Malaysia melaksanakan sehingga tiga sesi latihan pada Mac 2021 kepada semua sukarelawan untuk memastikan hanya Changemaker terlatih saja yang akan turun mengajar anak-anak.

Malangnya pada Mei 2021 negara kita sekali lagi melaksanakan PKP sehingga Oktober 2021. Di sebalik kekangan itu, kelas #KitaBaca terus berjalan dengan sebahagiannya berjalan dalam talian.

Hilang pembelajaran dan keciciran

Unesco, Unicef dan Bank Dunia dalam laporan terbaru yang diterbitkan secara bersama pada Disember 2021 menjelaskan dua jenis kehilangan pembelajaran dalam konteks pandemik Covid-19 iaitu “forgetting” dan “forgone”.

“Forgetting” bermakna kehilangan apa yang dipelajari dan “forgone” pula bermakna pembelajaran yang tidak dapat dilaksanakan kerana sekolah ditutup.

Kehilangan pembelajaran yang berlaku akibat penutupan sekolah seterusnya akan melebarkan pula jurang pembelajaran. Kehilangan pembelajaran yang terlalu lama ini juga akan memberi kesan buruk kepada anak kerana akan mengganggu trajektori pembelajaran mereka.

Menurut laporan Unesco, Unicef dan Bank Dunia kanak-kanak yang kehilangan pembelajaran dan tiada pemulihan diusahakan, pembelajaran di masa depan akan berjalan dengan lebih perlahan.

Ini bermakna, semakin lama anak kita tidak ke sekolah semakin besar potensi mereka untuk kehilangan pembelajaran. Bahkan jika tiada usaha pemulihan dijalankan setelah sekolah dibuka, pembelajaran anak-anak ini akan berjalan dengan lebih perlahan diakibatkan dua faktor “forgetting” dan “forgone”.

Ini semua seterusnya akan melebarkan lagi jurang pembelajaran, dengan anak dari keluarga berpendapatan rendah yang tidak mendapat manfaat dari pembelajaran jarak jauh atau pembelajaran dalam talian akan terus tercicir berbanding anak-anak dari keluarga berpendapatan tinggi.

Hilang pendapatan sepanjang hidup

Berdasarkan trajektori pembelajaran pasca-Covid, Unesco, Unicef dan Bank Dunia kemudiannya dapat melihat trajektori magnitud kehilangan pembelajaran yang bakal berlaku di masa depan.

Keputusannya tidak menyenangkan sama sekali.

Generasi yang terlibat dengan hampir tujuh bulan penutupan sekolah pada 2020 berdepan kehilangan pendapatan AS$10 trilion hingga AS$16 trilion. Penutupan sekolah melibatkan 1.6 bilion kanak-kanak di 188 negara dengan purata sekolah ditutup selama 121 hari sejak Februari 2020 hingga Ogos 2021.

Dalam bahasa mudah, generasi terlibat dengan penutupan sekolah atau kehilangan pembelajaran ini semuanya berpotensi kehilangan pendapatan seumur hidup AS$25,000 atau RM104,412 pada kedudukan kewangan hari ini.

Ini berlaku kerana pelbagai sebab dan antara sebab utamanya adalah anak yang kehilangan pembelajaran ini di akhirnya tidak dapat menggarap kemahiran diperlukan dan menyebabkan akhirnya mereka sama ada tercicir dari sistem pembelajaran ataupun hilang daripada radar pendidikan nasional.

Generasi ini akhirnya terpaksa bekerja dengan gaji dan upah yang lebih rendah kerana tidak memiliki kemahiran yang lebih baik.

Banjir dan jurang pendidikan

Sebelum pandemik, kadar keciciran untuk sekolah rendah adalah sekitar julat 0.1% hingga 0.3% manakala untuk sekolah menengah pula adalah sekitar 1.1% hingga 1.5%.

Ini bermakna setiap tahun, sekitar 20,000 hingga 40,000 murid sekolah kita cicir daripada sistem pendidikan sama ada mereka tidak menyambung pendidikan ke Tingkatan Satu dari Tahun 6 atau mereka tidak menyambung pelajaran ke Tingkatan 4 dari Tingkatan 3.

Ini semua berlaku sebelum pandemik melanda.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya menjangkakan jumlah keciciran akibat pandemik Covid-19 meningkat sekali ganda hingga dua kali ganda kerana sehingga kini, tidak ada kajian yang dapat membuktikan pembelajaran jarak jauh atau pembelajaran dalam talian adalah berkesan untuk generasi pandemik ini.   

Dalam ketidaktentuan kita semua menghadapi kesan berganda akibat penutupan sekolah serta kehilangan pembelajaran ini, kemudiannya banjir melanda beberapa negeri pada 18 Disember, 2021.

Puluhan ribu penduduk terjejas, rumah tenggelam hingga ke bumbung, keluarga bukan saja kerosakan barangan rumah bahkan bahan pembelajaran seperti buku dan laptop juga semuanya hanyut.

Sekali lagi anak berpendapatan rendah paling terjejas kerana kebanyakan lokasi banjir ini melibatkan kawasan perumahan flat dan rumah teres atau juga dipanggil sebagai rumah murah.

Di beberapa lokasi Pusat Pemindahan Segera (PPS) di Shah Alam, Dengkil, Kota Warisan dan Cyberjaya, Untuk Malaysia menjalankan program bercerita untuk membantu menceriakan emosi anak-anak mangsa banjir ini dan saya sempat bertanya mengenai pekerjaan ibu bapa anak mangsa banjir ini.

Ramai anak menyatakan ibu bapa mereka sama ada bekerja di kilang, berniaga kecilan, pekerja kebersihan ataupun kerani kecil.

Untuk anak dari keluarga berpendapatan rendah, yang langsung tidak mendapat manfaat daripada sistem pembelajaran jarak jauh dan pembelajaran dalam talian, banjir memburukkan lagi keadaan yang sudah getir.

Kini mereka hilang buku, hilang meja dan kerusi bahkan mungkin hilang semua bukti kejayaan yang berjaya mereka kecapi sepanjang persekolahan sebelum ini seperti sijil dan medal sukan. Ini semua boleh meruntuhkan emosi dan motivasi mereka untuk meneruskan pembelajaran di masa depan.

Pada masa sama mereka juga terdedah dengan bahaya kerana keluarga mereka iaitu ibu dan bapa mereka kini tertekan dengan situasi pasca banjir iaitu beban kewangan untuk membaiki kereta, motor mahupun menggantikan perabot rumah yang rosak.

Anak ini semua terdedah dengan bahaya emosi manusia dewasa seperti penderaan dan tekanan mental. Pihak KPM harus segera mencari jalan untuk memastikan sokongan psiko-sosial segera digerakkan kepada anak mangsa banjir ini.

Berbalik kepada program “Selamatkan Murid Cicir” Untuk Malaysia, sehingga Disember 2021 sekitar 35 kanak-kanak berjaya menamatkan kelas untuk bergraduasi di sebalik banyaknya kekangan untuk melaksanakan kelas seperti PKP.

Kini lebih 200 kanak-kanak masih terlibat dengan kelas tersebut walau kebanyakan mereka mempunyai pelbagai masalah kritikal seperti speech delay dan pelbagai masalah pembelajaran yang lain. 

Adakah 2022 akan menjadi lebih baik?

Berdasarkan jangkaan senario dan trajektori Unesco, Unicef dan Bank Dunia, anak-anak kita adalah generasi terkesan dengan kehilangan pembelajaran dan potensi kemiskinan pembelajaran semakin besar untuk tahun mendatang.

Kesan pandemik Covid-19 mungkin akan menjadi luka dengan torehan paling dalam buat generasi ini – sebahagiannya akan memberi kesan untuk sepanjang hidup mereka nanti. – 31 Disember, 2021.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen