Kritik DAP, saya beri pendapat profesional, kata pensyarah UUM


Diyana Ibrahim

Pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Yusoff berkata beliau tidak ekstremis dalam mengkritik DAP. – Gambar Facebook, 23 Mei, 2017.

PENSYARAH Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata beliau hanya memberi pendapat adil dan profesional mengenai DAP, apatah lagi beliau ialah seorang penganalisis politik.

Katanya, atas kapasiti sebagai penganalisis politik juga beliau pernah memuji dan menyokong tindakan DAP dalam isu menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan.

Beliau merujuk kepada cadangan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor itu sebelum ini yang mendapat bantahan ahli politik DAP.

“Saya cuma memberi pandangan yang adil dan profesional bagi parti politik Malaysia.

“Ia memang kepakaran saya untuk bercakap mengenai parti pembangkang dan kebetulan pula saya lihat DAP parti pembangkang paling ‘menonjol’ pada masa kini dengan memiliki kerusi paling banyak di Parlimen,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selepas tiga jam disoal siasat polis semalam, Kamarul mempertahankan beliau bukan ekstremis dan berkata isu Pulau Pinang jadi Wilayah Persekutuan adalah antara contoh kritikannya terhadap Umno dan bersetuju dengan DAP.

“Tapi tidak ada orang bercakap mengenai itu. Saya tidak kritikal terhadap DAP. Ia hanya kerana DAP kebelakangan ini bertindak keras, menyerang saya kiri dan kanan. Saya cuma mempertahankan diri saya,” katanya.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia itu baru-baru ini dikritik hebat beberapa pemimpin DAP susulan postingnya di Facebook yang menuduh DAP hipokrit dengan mengambil contoh bagaimana Speaker Selangor Hannah Yeoh mempengaruhi umat Islam menerusi bukunya bertajuk “Becoming Hannah: A Personal Journey”.

Yeoh kemudian membuat laporan polis terhadapnya dan Kamarul membalas laporan terhadap speaker itu.

Susulan itu, Kamarul dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kes itu, semalam.

Kamarul berkata kritikan lantangnya terhadap DAP pada masa ini dibuat selepas membuat kajian mendalam terhadap parti itu.

Katanya, antara contoh ialah kenyataan Lim Guan Eng di Singapura pada 2014 menuduh Barisan Nasional tidak akan menyerahkan kuasa jika pembangkang memenangi PRU14 dan ia hanya dapat diselesaikan menerusi protes jalan raya.

Beliau berkata DAP parti yang sombong dan langsung tidak menghormati peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ambil contoh Perlembagaan dia, mana ada iktiraf kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan kedudukan Melayu dan Bumiputera.

“Saya Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia di mana moto dan visinya ialah Daulatkan Islam Agama Negara,” katanya.

Kamarul berkata beliau tetap akan melancarkan “perang” terhadap DAP dengan meneruskan memorandum yang akan dihantar ke Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi membatalkan pendaftaran parti itu.

“Lebih 100 ahli akademik yang ada PhD dari lebih 21 institut pengajian tinggi adalah bilangan yang sangat besar. Tidak boleh pandang rendah suara mereka,” katanya.

Pada masa ini, Kamarul sedang menunggu tarikh daripada RoS untuk membenarkan memorandumnya dihantar.

Malah, pensyarah itu sedang berusaha membuat temu janji dengan pihak kuasa berhubung memorandumnya. – 23 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen