PENSYARAH universiti Dr Kamarul Yusoff hari ini dipanggil polis bagi memberi keterangan susulan kes tuduhannya terhadap buku Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh yang cuba mempengaruhi umat Islam.
Perkara tersebut disahkan pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia itu sendiri kepada The Malaysian Insight.
“Saya kini sedang memberi keterangan kepada polis,” kata Kamarul menerusi balasan Whatsapp sekitar jam 2.39 petang.
The Malaysian Insight masih menunggu perkembangan selanjutnya daripada beliau yang kini masih disiasat.
“Siasatan masih lagi berjalan sejak jam 2.15pm,” kata pensyarah itu.
Tidak dapat dipastikan lokasi balai polis di mana siasatan itu dibuat tetapi laporan balas Kamarul terhadap Yeoh dibuat di balai polis Changloon Kedah pada minggu lalu.
Kamarul menerusi posting Facebooknya menuduh DAP hipokrit dengan mengambil contoh bagaimana Yeoh cuba mempengaruhi umat Islam menerusi bukunya yang bertajuk “Becoming Hannah: A Personal Journey”.
Pada jam 5 petng Kamarul memaklumkan beliau selesai memberi keterangan dan bekerjasama dengn baik kepada pihak polis.
“Saya dipanggil di Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan ada lapan muka surat soalan yang ditanya polis kepada saya dan memberikan kerjasama yang baik kepada polis.”
Tambahnya, beliau tidak pasti sama ada bakal dipanggil semula selepas ini.
Yeoh membuat laporan polis terhadap Kamarul minggu lalu sejurus selepas catatan Kamarul menjadi tular di media sosial. – 22 Mei, 2017.
Komen