SAIFUL Affzan Abdul Munir yang berusia 32 tahun memahami perasaan menjadi mangsa banjir selepas berdepannya pada 2014 di Kelantan.
Justeru dia tidak berfikir dua kali untuk membantu mangsa banjir di Shah Alam, antara kawasan yang terjejas teruk akibat bencana itu baru-baru ini.
Sebagai pemilik bengkel di Glenmarie di Shah Alam, Saiful mengambil keputusan memberikan khidmatnya kepada masyarakat dengan menawarkan perkhidmatan membaiki motosikal yang rosak akibat banjir secara percuma.
Saiful memberitahu The Malaysian Insight bahawa dia sudah membantu lebih 50 mangsa hanya dengan mengenakan kos alat ganti kepada mereka.
Saiful dan kakitangannya turut menyediakan perkhidmatan pengambilan motosikal secara percuma.
“Niat untuk membantu datang daripada apa yang saya lihat dalam banjir di Kelantang, dulu saya saksikan betapa teruknya keadaan dan sekarang ia berlaku berhampiran kawasan saya.
“Saya boleh kaitkan dengan penderitaan itu sebab itu sehari atau dua hari selepas banjir saya putuskan dengan rakan kongsi untuk bantu mangsa yang terjejas.
Pada hari ketiga saya memuat naik satu hantaran di media sosial memberitahu orang ramai bahawa kami menyediakan perkhidmatan pembaikan percuma untuk pemilik motosikal yang terjejas banjir,” katanya.
Saiful berkata dia akan mengambil sendiri motosikal yang rosak untuk dibawa ke bengkelnya.
Dari situ dia kemudiannya akan memeriksa kerosakan dan memberitahu pemilik apa yang perlu diperbaiki.
Dia juga akan membersihkan motosikal itu sebelum menyerahkan semula kepada pemiliknya sebaik sahaja kerja selesai.
“Saya akan tarik sendiri motosikal menggunakan trak pikap. Di bengkel kita akan semak apa jenis kerosakan dan hubungi pemilik untuk memaklumkan keadaan (motosikal).
“Jadi katakan jika satu-satunya masalah ialah pendawaian, pemilik hanya perlu membeli set pendawaian baharu tanpa kami mengaut keuntungan daripadanya.
“Jika pembekal menjualnya dengan harga RM100 pemilik perlu membayar RM100. Kami tidak membuat apa-apa keuntungan dan tidak mengenakan bayaran kepada mereka untuk kerja buruh kami.
“Tambahan pula kami menunda motosikal itu secara percuma dan tidak sampai sehari pemilik boleh datang membawa pulang motosikal mereka,” katanya.

Tambahnya pemilik motosikal juga boleh membeli sendiri alat ganti dan dia akan membantu membaikinya.
“Jika mereka dapat mencari alat ganti yang lebih murah, mereka juga boleh membawanya kepada kami dan kami akan membaikinya secara percuma,” katanya.
Bukan untuk meraih publisiti
Sejak Isnin lalu telefon bimbit Saiful menerima banyak mesej dan panggilan.
“Saya menerima panggilan dan mesej tanpa henti. Kami menerima setiap panggilan dan permintaan. Kami akan meneruskan sehingga semua orang dapat membaiki motosikal mereka,” katanya.
Saiful berkata kebanyakan pelanggannya datang dari Sri Muda dan Batu 3, dua kawasan di Shah Alam yang teruk dilanda banjir.
Tambahnya tujuannya hanya untuk membantu orang lain yang memerlukan dan bukan untuk meraih publisiti.
“Saya tiada niat lain melainkan hanya membantu mangsa terutamanya mereka yang bekeluarga dan bergantung kepada motosikal untuk ke tempat kerja. Jika mereka tidak dapat membaiki motosikal bagaimana hendak bekerja dan mencari wang?
“Ini hanya sebahagian kecil yang boleh saya sumbangkan. Saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung kos alat ganti tetapi saya mempunyai tenaga yang cukup untuk membantu mereka membaiki motosikal. Bersama-sama rakan sekerja saya, kami cuba sebaik mungkin.
“Tidak ada istilah untuk menjadi terkenal di media sosial. Saya tidak sangka kami akan mendapat begitu banyak panggilan untuk mendapatkan bantuan tetapi kami gembira untuk menyumbang,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.
Saiful kini berada di Kedah untuk majlis perjumpaan keluarga dan akan pulang ke Shah Alam pada Rabu untuk meneruskan kerja membaiki motosikal yang rosak.
Beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal semalaman dalam salah satu bencana terburuk di negeri itu dalam beberapa dekad.
Sehingga Ahad seramai 46 orang maut akibat banjir dengan lima lagi masih hilang. – 30 Disember, 2021.
Komen