Ahli Parlimen kecewa, persoal kelewatan bantuan banjir daripada kerajaan


Alfian Z.M. Tahir Ragananthini Vethasalam

Adun Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata tiada pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat datang membantu mangsa banjir di kawasannya, begitu juga kakitangan agensi kerajaan kelihatan semasa operasi menyelamat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Disember 2021.

AHLI Parlimen Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan kelewatan penghantaran bantuan oleh kerajaan negeri dan persekutuan ke kawasan yang dilanda banjir di kawasan mereka.

Walaupun arahan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya semua kementerian menggerakkan aset mereka ke kawasan dilanda banjir, tetapi yang pertama tiba di tempat kejadian adalah dermawan, pertubuhan bukan kerajaan dan kumpulan agama, demikian menurut beberapa wakil rakyat PH kepada The Malaysian Insight.

Adun Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata tiada pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang membantu mangsa banjir di kawasannya, begitu juga kakitangan agensi kerajaan kelihatan semasa operasi menyelamat.

“Kami hanya bergantung pada kumpulan bebas, bukan kerajaan, yang responsnya sangat perlahan.

“Saya minta maaf tetapi ia sangat tidak produktif dan sangat mengecewakan datang dari Putrajaya,” kata wakil rakyat PKR itu.

Meru adalah satu daripada beberapa kawasan di Klang yang dilanda banjir teruk pada hujung minggu ini berikutan hujan berterusan sejak pagi Jumaat, 17 Disember.

Walaupun kini musim monsun timur laut yang kebiasaannya melanda negeri-negeri di Pantai Timur, namun jumlah hujan dan banjir luar biasa di tengah Semenanjung nampaknya menyebabkan pihak berkuasa tidak bersedia.

Malah, notis amaran awal berkaitan hujan lebat luar biasa disebabkan faktor monsun dan sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan sudah dikesan Jabatan Meteorologi pada 12 Disember.

Kerajaan Selangor sebulan lalu juga telah mengeluarkan notis mengenai hujan yang dijangka lebih tinggi pada November dan Disember dan mengarahkan agensi berkaitan bersiap sedia menghadapi senario banjir.

Ismail Sabri pada sidang media malam Sabtu lalu berkata keutamaan segera kerajaan adalah untuk menyelamatkan penduduk yang terkandas dan menyampaikan bantuan makanan.

Beliau juga berkata pada malam yang sama bahawa semua kementerian telah diarahkan untuk menggerakkan aset mereka ke kawasan yang dilanda banjir.

Bagaimanapun susulan sidang media malam Sabtu dan catatan di Facebooknya, sukarelawan adalah yang pertama tiba membantu penduduk Taman Sri Muda yang terkandas dengan menggunakan kayak dan bot kecil menyelamatkan mangsa serta menghantar makanan.

Wakil rakyat PKR negeri itu berkata mangsa di kawasannya terpaksa tidur di atas lantai tanpa tilam yang dibasahi air banjir.

“Saya setuju maklum balas kerajaan lambat. Bantuan datang daripada orang biasa, kumpulan agama dan NGO. Bukan Putrajaya. Kami belum nampak sesiapa pun dari Putrajaya,” kata Najwan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata kerajaan negeri juga harus menanggung sebahagian daripada kesalahan itu.

“Kedua-duanya… Saya tidak mengatakan hanya persekutuan… negeri sama-sama bertanggungjawab ke atas perancangan yang tidak baik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahli Parlimen DAP itu berkata kedua-dua kerajaan negeri mahupun persekutuan telah melakukan “kerja yang teruk” dalam mengambil langkah sambil lewa dan lambat merancang pelan mitigasi selepas mengetahui tentang hujan lebat.

Beliau menceritakan pengalamannya meminta bantuan daripada pasukan Bomba untuk menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap dalam kereta pada Sabtu.

Malangnya, jabatan itu tidak dapat membantu kerana mereka mempunyai kekurangan kakitangan ketika itu.

Santiago berkata kekurangan tenaga kerja boleh dielakkan dengan perancangan awal dengan menggerakkan anggota Bomba dan Penyelamat dari negeri lain atau dengan meletakkan mereka dalam keadaan kesiapsiagaan untuk senario banjir.

Sepatutnya juga ada talian hotline atau saluran untuk orang ramai menghubungi segera untuk meminta bantuan, sebaik paras air mula naik. Begitu juga, bilangan orang ramai untuk mendapatkan maklumat, atau mencari tentang pusat pemindahan banjir, sepatutnya disediakan awal.

“Tindak balas kerajaan sangat lemah dan kadang-kadang tidak wujud,” katanya.

Kawasannya, Klang, adalah antara kawasan paling teruk dilanda banjir di Selangor. Ia terletak di tepi pantai, dan mempunyai Sungai Klang yang mengalir melaluinya.

Santiago menambah, di tengah kelewatan penempatan aset bantuan dan penyelamat oleh kerajaan negeri dan persekutuan, orang ramai telah mengambil bahagian untuk membantu. – 21 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen