Jadikan sekolah kebangsaan taraf emas dalam pendidikan, kata persatuan


Ragananthini Vethasalam

PIBG berkata tumpuan harus diberikan kepada meningkatkan taraf di sekolah kebangsaan dan bukannya berusaha memansuhkan sekolah vernakular. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2021.

TUMPUAN harus diberikan kepada meningkatkan taraf di sekolah kebangsaan dan bukannya berusaha memansuhkan sekolah vernakular, kata persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) menyambut baik keputusan mahkamah hari ini untuk menolak saman yang mempersoalkan kesahihan sekolah vernakular di Malaysia.

Ketua PIBG menolak dakwaan pelajar sekolah vernakular mempunyai penguasaan Bahasa Malaysia yang lemah dan menyifatkannya sebagai bukan isu kerana ramai yang mahir dalam bahasa kebangsaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berkata sekolah vernakular dan penggunaan bahasa ibunda seperti Tamil dan Cina di sekolah-sekolah ini adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata penggunaan bahasa ibunda tidak meletakkan bahasa Malaysia kepada status yang lebih rendah.

Ia sebenarnya lebih mudah untuk pelajar mempelajari beberapa bahasa kerana bahasa cenderung meminjam perkataan antara satu sama lain.

Selain itu beliau berkata menjadi poliglot juga merupakan aset kepada kerjaya dan kesejahteraan seseorang.

“Kita harus terus mempunyai sistem vernakular kerana ia mencerminkan kepelbagaian kita yang merupakan kekuatan kita.

“Sebaliknya tumpuan sepatutnya adalah meningkatkan taraf SK dan SMK dengan ketara untuk menjadikan mreka taraf emas (dalam pendidikan),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Akta Pendidikan 1996 jelas menyatakan bahasa vernakular diperuntukkan dalam sistem pendidikan, tambah Noor Azimah. 

Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi sepatutnya meletakkan perbahasan mengenai sekolah vernakular dan perkara itu tidak perlu dipolitikkan lagi.

“Kita perlu maju untuk meningkatkan pendidikan anak-anak kita,” tambahnya.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin turut mengalu-alukan keputusan mahkamah itu sambil menambah ia tidak sepatutnya menjadi isu sejak awal lagi kerana sekolah vernakular mempunyai hak perlembagaan untuk wujud.

“Ramai orang yang saya kenali dari sekolah vernakular bercakap BM yang sempurna. Ada juga yang seterusnya menjadi guru BM. Jadi tidak ada asas semua di sekolah vernakular mempunyai penguasaan BM yang lebih lemah.

“Terdapat juga sekurang-kurangnya 18% bukan Cina yang lebih gemar menghantar anak mereka ke sekolah vernakular terutamanya ke sekolah Cina.

“Jumlah itu semakin meningkat setiap tahun. Dengan 18% daripada pelajar ini di SJKC, sekolah vernakular Cina kini lebih kebangsaan berbanding sekolah kebangsaan,” katanya.

Mak berkata walaupun Melayu dan India adalah minoriti di sekolah Cina, ibu bapa merasakan ia adalah pilihan akademik terbaik untuk anak-anak mereka. – 29 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen