PM perlu siasat peletakan jawatan panel SPRM, kata Kit Siang 


Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa kerajaan menamatkan "konspirasi senyap" selama dua bulan berhubung dakwaan melibatkan ketua pesuruhjaya SPRM.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob mesti bertindak terhadap peletakan jawatan Edmund Terence Gomez daripada panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang gagal membincangkan laporan membabitkan ketua pesuruhjaya Azam Baki, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen veteran itu menggesa Putrajaya untuk menamatkan “konspirasi senyap” selama dua bulan mengenai dakwaan bahawa Azam memiliki hampir dua juta saham dalam sebuah syarikat senarai awam.

Perkara itu cukup serius sehingga perdana menteri perlu membuka siasatan berhubung perkara itu, kata ahli Parlimen Iskandar Puteri.

“Perlu ada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai rasuah dan salah guna atau pembaziran dana awam untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam, ahli ekonomi Gomez meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan dan rasuah SPRM sebagai protes atas kegagalannya bertindak terhadap dakwaan pemilikan saham oleh Azam.

Dalam surat peletakan jawatannya, yang dilihat oleh The Malaysian Insight, Gomez berkata soalan telah dibangkitkan mengenai “hubungan antara perniagaan dan penguatkuasa” dan situasi “konflik kepentingan” yang melibatkan Azam Baki.

Gomez juga berkata berkata bekas pegawai tinggi SPRM didakwa terbabit dalam situasi konflik kepentingan, sekaligus mencadangkan “ada suatu trend di institusi itu (SPRM) yang mesti disiasat segera”.

Gomez mendakwa beliau telah membangkitkan perkara itu dengan pengerusi panel Borhan Dolah pada 12 November dan meminta satu mesyuarat diadakan bagi membincang isu berkenaan.

Walaupun Borhan pada awalnya memberi maklum balas dan bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan panel, mesyuarat itu tidak pernah menjadi kenyataan.

Gomez berkata dia menulis dua kali lagi kepada Borhan mengenai perkara ini dan telah melampirkan lebih banyak maklumat yang diterimanya mengenai kaitan perniagaan keluarga Azam. Bagaimanapun, beliau tidak menerima sebarang maklum balas kepada mana-mana surat tersebut.

Pada 14 Disember, Ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa telah membangkitkan dakwaan mengenai seorang pegawai tertinggi SPRM di Parlimen.

Sivarasa mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan bebas.

Beliau mendakwa antara 2015 dan 2016, semasa Azam menjadi pengarah siasatan SPRM, beliau menjadi pemilik 930,000 saham dalam Gets Global Bhd pada 30 April 2015 dan 1,029,000 saham lagi pada 31 Mac 2016.

Sivarasa juga mendakwa, sehingga 21 Mac 2016, Azam juga memiliki 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Bhd, manakala adik lelakinya memiliki 3,728,000 saham dalam Gets Global.

Lim menuntut ketelusan mengenai perkara ini, dengan mendakwa rakyat Malaysia berhak mendapatnya.

“Sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia menuntut ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi berhubung perkara itu, terutamanya dengan pelantikan penasihat yang berlebihan untuk perdana menteri sedangkan beliau mempunyai menteri Kabinet yang menjaga portfolio, pelantikan utusan yang tidak diperlukan untuk wilayah sedangkan terdapat duta yang dilantik kepada setiap negara, dan pelantikan GLC yang tidak perlu,” kata Lim. – 28 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen