BEKAS menteri hal ehwal agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan umat Islam dibenarkan mengambil makanan yang disediakan di Gurdwara.
“Penganut Sikh mengamalkan diet vegetarian. Ini bermakna, mereka sama sekali tidak menjamah daging.
“Hukum Muslim memakan makanan daripada bukan Muslim yang bukan ahli kitab adalah dibolehkan selagi mana tidak melibatkan haiwan sembelihan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini selepas melawat Gurdwara Sahib Petaling Jaya (GSPJ).
Zulkifli berkata demikian selepas ada pihak yang mempersoalkan status halal makanan yang disediakan dan dihantar dari Gurdwara.
Sejak Sabtu, kuil Sikh itu menjadi tumpuan orang ramai kerana memberi makanan percuma kepada mangsa banjir di Lembah Klang dan juga di negeri lain.
Beribu-ribu rakyat Malaysia dari semua kaum dan agama telah memenuhi kuil itu untuk menjadi sukarelawan dan membantu kerja-kerja bantuan banjir. Ini termasuk sukarelawan Muslim.
Sementara itu, Zulkifli yang dijemput ke GSPJ juga berkata beliau kagum dengan penyelarasan dan kecekapan kerja yang dilakukan di kuil tersebut.
“Saya dibawa meninjau proses penyediaan juadah untuk mangsa banjir daripada dapur sehinggalah ke meja bungkusan. Amat bersih dan kemas.
“Penghantaran setiap hari amat pantas dengan bantuan 20 buah trak pikap ke sekitar Selangor, Kuala Lumpur bahkan Pahang.
“Sesungguhnya saya amat terharu dengan kerjasama tanpa rasa sebarang penat lelah semata-mata menzahirkan semangat membantu yang amat luar biasa.
“Saya amat kagum melihat pengurusan sistem agihan bantuan yang melibatkan pelbagai agama dan bangsa. Semuanya tersusun dan lengkap dengan dokumentasi. Ini amat penting bagi menjamin integriti dan profesionalisme,” katanya.
Zulkifli turut menghulurkan sumbangan kepada kuil bagi pihak Muslim Council of Elders Malaysia dan Surau Al-Makrifah di Negeri Sembilan, bagi meneruskan bantuan kepada mangsa banjir.
Orang ramai yang memerlukan makanan digalakkan menghubungi Bank Makanan Banjir GSPJ di talian 010-217-455
Untuk menyumbang kepada bank makanan bantuan banjir GSPJ, dana boleh dipindahkan ke akaun di bawah:
Tabung Kebajikan GSPJ, akaun Maybank: 514169141318. – 22 Disember, 2021.
Komen