GURDWARA Sahib Petaling Jaya (GSPJ) menerima sokongan daripada sukarelawan dengan ramai rakyat Malaysia berbilang kaum datang turut sama berganding bahu membantu mangsa banjir.
Kuil Sikh itu fokus kepada menyediakan makanan percuma untuk mangsa banjir.
Ahli GSPJ Paramjeet Singh berkata respons diterima daripada sukarelawan amat menggalakkan.
“Kami melihat semangat sebenar rakyat Malaysia. Respons sangat baik.
“Semua ada, Melayu, Cina, India, majmuk. Anda dapat melihat perpaduan Malaysia di sini.
“Inilah yang biasa kita ada dulu dan kini tragedy banjir menyatukan kita semula,” katanya kepada The Malaysian Insight.
GSPJ mengedarkan makanan vegetarian kepada mangsa banjir dan diedarkan di seluruh Lembah Klang, yang terjejas akibat banjir pada hujung minggu lalu.
Paramjeet berkata program makanan percuma itu bermula pada Ahad, dengan ahli menyediakan 5,000 pek makanan pada Sabtu.
Dengan sukarelawan semakin ramai datang untuk menyediakan barangan masakan, mereka dapat menyiapkan dan menghantar 10,000 pek makanan semalam, dengan kebanyakannya diagihkan oleh sukarelawan menggunakan trak.
Paramjeet berkata selain makanan, GSPJ kini dalam usaha menghantar barangan asas seperti tuala wanita, susu formula bayi dan ubat.
“Kita tidak tahu bila keadaan akan pulih dan kembali normal. Kami akan terus lakukan usaha ini selagi ada sokongan sukarelawan.
“Kami alu-alukan sumbangan, sama ada wang tunai atau tenaga,” katanya. – 21 Disember, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen