Bantuan kewangan sehingga RM5,000 bantu usahawan, kata PM


Alfian Z.M. Tahir

Dalam pengumuman yang sama, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut berkata ketua isi rumah yang terjejas masing-masing akan menerima bantuan wang ihsan RM1,000. – Gambar Facebook, 20 Disember, 2021.

PEMBIAYAAN kewangan sehingga RM5,000 akan disalurkan kepada usahawan yang terjejas banjir, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob petang ini.

Dalam satu kenyataan, Ismail Sabri berkata bantuan kewangan tersebut adalah tanpa faedah/keuntungan dengan tempoh bayaran yang bermula selepas 6 bulan perjanjian pembiayaan ditandatangani dengan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Pengumuman itu dibuat selepas Ismail Sabri semalam mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk pembaikan pasca banjir bagi kediaman dan infrastruktur yang terjejas akibat bencana alam di seluruh negara.

Beliau juga mengumumkan ketua isi rumah yang terjejas masing-masing akan menerima bantuan RM1,000.

Wang itu akan disalurkan selepas banjir dan sebaik mangsa yang kehilangan tempat tinggal pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bersetuju menyumbang RM50.8 juta bagi membantu pengurusan banjir dan usaha pemulihan pasca banjir.

“Ini adalah peningkatan lebih 100% berbanding jumlah RM25 juta yang diumumkan semalam,” jelasnya.

“GLIC dan GLC yang telah menyumbang ini termasuklah Petronas; Yayasan Petronas; Khazanah Nasional dan Yayasan Hasanah; Yayasan Sime Darby; CIMB; Celcom; Telekom Malaysia; Yayasan UEM; dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).”

“Dengan geran Kerajaan sebanyak RM25 juta, ini bermakna dana untuk usaha menangani impak banjir dan pemulihan pasca-banjir adalah RM75.8 juta,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan juga bersetuju isu banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam diselesaikan dengan kadar segera.

Justeru, katanya, semua agensi telah diarah mengatur gerak kerja dengan lebih agresif bagi membantu mangsa banjir di situ.

“Sehingga petang ini sebanyak 41 bot, 16 lori juga aset-aset lain telah digerakkan ke Taman Seri Muda dengan kekuatan anggota pasukan penyelamat seramai 321 orang,” kata ahli Parlimen Bera itu. – 20 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen