RM100 juta peruntukan pembaikan pasca banjir, kata PM


Ragananthini Vethasalam

Ismail Sabri mengumumkan ketua isi rumah yang terjejas akan menerima bantuan RM1,000. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Disember, 2021.

PUTRAJAYA akan memperuntukkan RM100 juta pembiayaan untuk kerja pembaikan pasca banjir bagi kediaman dan infrastruktur yang terjejas akibat bencana di seluruh negara, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“RM100 juta itu adalah pembiayaan awal. Jika tidak mencukupi kita akan tambah,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Klang hari ini.

Ismail Sabri turut mengumumkan ketua isi rumah yang terjejas akan menerima bantuan RM1,000.

Beliau berkata, wang itu akan diagihkan selepas banjir dan sebaik mangsa yang kehilangan tempat tinggal pulang ke rumah masing-masing.

“Kita akan dapatkan butiran mereka daripada pejabat daerah,” katanya.

“Kita akan percepatkan (pembayaran). RM1,000 mungkin tidak mencukupi tetapi ia akan membantu mereka membeli keperluan asas,” jelasnya.

Ismail Sabri berkata, ketika ini terdapat lebih 15,000 mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).

Kini terdapat 103 PPS di lapan daerah seluruh Selangor.

Selangor menyaksikan apa yang dianggap sebagai banjir paling dahsyat sejak kebelakangan ini selepas hujan lebat berterusan selama dua hari.

Selain Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka turut terjejas dengan banjir. – 19 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen