PUTRAJAYA perlu mengemukakan garis panduan yang lebih baik mengenai penguatkuasaan SOP sebelum membentangkan pindaan bagi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit atau Akta 342, kata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
“Garis panduan itu juga perlu didedahkan kepada umum sebelum dibentangkan semula,” kata Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching-PH) di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Yii yang mempengerusikan jawatankuasa pilihan khas mengenai kesihatan, sains dan teknologi memberi maklum balas terhadap apa yang Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberitahu Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Rembau itu memaklumkan kepada Parlimen bahawa kerajaan memutuskan untuk menangguhkan bacaan kedua dan ketiga bagi rang undang-undang pindaan kontroversi itu selepas bertemu jawatankuasa pilihan khas pada sebelah pagi.
Khairy berkata kerajaan mahu mendapatkan sokongan dua parti bagi rang undang-undang itu bagi memastikan pematuhan awam yang lebih baik.
Menurut Dr Yii, jawatankuasa pilihan itu mendengar pendapat daripada menteri, ketua pengarah kesihatan, Jabatan Peguam Negara dan pelbagai pakar perubatan.
“Setelah mendengar pendapat semua pihak kami sebulat suara bersetuju mencadangkan kepada kerajaan supaya menangguhkan rang undang-undang pindaan ini untuk perundingan yang lebih menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.
“Walaupun kami menyokong rang undang-undang pindaan ini, jawatankuasa berpendapat ia tidak perlu tergesa-gesa supaya lebih memberi keyakinan kepada orang ramai terhadap undang-undang baharu itu,” kata Dr Yii.
Antara pindaan kontroversi rang undang-undang itu termasuk menaikkan denda maksimum individu kepada RM50,000 dan hukuman penjara tiga tahun. Rang undang-undang pindaan itu juga bertujuan menaikkan denda korporat kepada RM500,000.
Pada Khamis kerajaan memutuskan untuk menangguhkan perbahasan bagi pindaan kepada hari ini selepas pembangkang berkata mereka akan menantang rang undang-undang itu.
Penangguhan itu juga bagi membenarkan kerajaan membincangkan pindaan itu dengan jawatankuasa pilihan khas. – 20 Disember, 2021.
Komen