PUTRAJAYA perlu menggerakan tentera, bot dan pasukan penyelamat dengan segera bagi memindahkan mangsa banjir di Sri Muda ke tempat selamat, kata ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
“Kita tidak boleh membuang masa lagi untuk menyelamat.
“Kawasan itu masih berdepan gangguan bekalan elektrik dan ini menyukarkan kerja menyelamat dan pemindahan, justeru kerajaan harus segera bertindak,” kata Charles dalam satu kenyataan pagi ini yang dimuat naik di laman Facebooknya.
Santiago berkata ramai keluarga masih terperangkap di atas bumbung rumah mereka kerana paras air masih tinggi dan berbahaya.
Ahli Parlimen Klang itu malam tadi menghantar bekalan makanan kepada penduduk Sri Muda susulan rayuan daripada penduduk yang terperangkap di rumah mereka.
Penduduk Taman Sri Muda di Shah Alam kehabisan makanan dengan ada yang kelaparan sejak dua hari lalu walaupun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan sebelum ini semua yang terkandas di rumah mereka akibat banjir akan diselamatkan.
Sebilangan mangsa masih menunggu untuk dipindahkan ketika mereka menghantar panggilan SOS untuk bot penyelamat. Malah banyak juga rayuan dibuat di laman sosial Facebook.
Ada yang membantu meminta pertolongan bagi pihak saudara mara mereka yang sakit dan warga emas di media sosial.
Rashmi Balakrishnan berkata enam sekeluarga terperangkap tanpa makanan dan elektrik.
Kee Ai Ling berkata keluarga rakannya terperangkap di rumah tanpa makanan sejak dua hari lalu.
Kee berkata ibu rakannya tidak mempunyai ubat untuk penyakit tekanan darah tinggi dan diabetes yang dihadapinya.
Sharunya Premenath berkata empat ahli keluarganya termasuk seorang warga emas berusia 84 tahun kelaparan sejak semalam.
“Tolong bantu keluarga saya. Mereka semua terkandas di tingkat atas tanpa makanan, tiada bekalan elektrik dan tiada talian telefon.
“Kelaparan sejak semalam…tolong bantu…perlukan makanan atau air sekurang-kurangnya,” katanya.
Begitu juga Shamla Papiyah berkata ibu mentuanya berusia 70 tahun yang memerlukan rawatan perubatan sudah dua hari tidak mendapat makanan, ubat dan elektrik.
Rayuan mereka untuk mendapatkan bantuan dibuat beberapa jam selepas Ismail mengumumkan mangsa yang terkandas diselamatkan dan pusat pemindahan tidak lagi kekurangan makanan berikutan aduan yang dibuat semalam.
Mangsa yang terkandas menungguh bot untuk membawa mereka ke tempat selamat kerana paras air meningkat sehingga setinggi rumah satu tingkat.
Banyak kenderaan ditenggelami air. Kawasan itu hanya boleh diakses dengan bot buat masa ini. – 20 Disember, 2021.
Komen