Penduduk di Sri Muda rayu bantuan segera, bekalan makanan habis


Ragananthini Vethasalam

Rayuan untuk mendapatkan bantuan hadir beberapa jam selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberitahu bahawa mangsa yang terkandas akan diselamatkan dan kekurangan makanan di pusat pemindahan tidak lagi menjadi isu selepas aduan semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 Disember 2021.

PENDUDUK Taman Sri Muda di Shah Alam kehabisan bekalan makanan dengan ada yang terlantar tanpa makanan sejak dua hari lalu, malah Perdana Menteri memberi jaminan sebelum ini bahawa semua yang terkandas di rumah mereka akibat banjir telah diselamatkan.

Sebilangan mangsa masih menunggu untuk dipindahkan ketika mereka menghantar panggilan kecemasan untuk bot penyelamat. Ramai memuat naik rayuan bantuan kepada kumpulan penduduk setempat di Facebook.

Ada yang menyiarkan bagi pihak saudara mereka yang sakit dan tua di media sosial.

Rayuan untuk mendapatkan bantuan hadir beberapa jam selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberitahu bahawa mangsa yang terkandas akan diselamatkan dan kekurangan makanan di pusat pemindahan tidak lagi menjadi isu selepas aduan semalam.

Beliau juga memberi jaminan bahawa proses menyelamatkan mereka yang terkandas dalam kenderaan sedang dijalankan.

The Malaysian Insight telah menghubungi pejabat perdana menteri untuk mendapatkan penjelasan berhubung pemindahan mangsa yang masih terperangkap di rumah masing-masing di Sri Muda.

Rashmi Balakrishnan berkata enam sekeluarga terperangkap tanpa bekalan makanan dan sumber tenaga elektrik.

Ai Ling Kee berkata, keluarga rakannya terperangkap di rumah tanpa makanan sejak dua hari lalu.

Kee berkata, ibu rakannya yang memerlukan rawatan perubatan kerana tekanan darah tinggi dan diabetes serta kehabisan bekalan ubat.

Sharunya Premenath berkata empat ahli keluarganya termasuk seorang warga emas berusia 84 tahun kelaparan sejak semalam

“Tolong bantu keluarga saya, Mereka semua terkandas di tingkat atas tanpa makanan, tiada elektrik dan liputan telefon bimbit,” katanya.

“Kebuluran sejak semalam.. tolong bantu.. perlukan makanan atau air sekurang-kurangnya,” katanya.

Begitu juga, Shamla Papiyah berkata ibu mentuanya yang berusia 70 tahun yang sedang dirawat terputus bekalan makanan, ubat-ubatan dan elektrik selama dua hari.

Mangsa yang tidak berdaya di salah satu kawasan yang paling teruk terjejas telah bermati-matian menunggu bot untuk menyelamatkan mereka kerana paras air naik ke tingkat satu kediaman.

Kenderaan tenggelam sepenuhnya, sekali gus merumitkan lagi proses menyelamat.

Kawasan itu hanya boleh diakses dengan bot buat masa ini. – 19 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen