Kerajaan tangguh rang undang-undang baharu ke sidang Parlimen akan datang


Chan Kok Leong

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerima memorandum daripada Sekretariat Solidariti Rakyat yang menyatakan bantahan berhubung peningkatan hukuman dalam pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Disember, 2021.

KERAJAAN menangguhkan perbahasan dua rang undang-undang baharu dan pindaan lain bagi memberi laluan kepada perbahasan rang undang-undang pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

Pada permulaan persidangan di Parlimen hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Dewan Rakyat bahawa rang undang-undang itu akan ditolak ke persidangan berikutnya mengikut Peraturan Mesyuarat 62.

Antara rang undang-undang baharu yang ditangguhkan ialah Rang Undang-undang Anti Gangguan Seksual 2021 dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020.

Rang undang-undang pindaan yang turut ditangguhkan adalah mengenai Akta Pekerjaan, Akta Kawalan Bekalan dan Akta Kehadiran Wajib Pesalah.

Hari ini merupakan hari terakhir persidangan Dewan Rakyat bagi tahun ini.

Berikutan bantahan orang ramai pada Selasa, kerajaan telah menyemak semula rang undang-undang pindaannya untuk meningkatkan hukuman di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit atau Akta 342.

Semakan itu, yang diberikan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat selepas rehat tengah hari, mencatatkan tiga semakan.

Semakan pertama (pindaan no 9) mengatakan bahawa hukuman maksimum bagi individu di bawah Seksyen 24(a) akan ditukar kepada “RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun”.

Ini adalah semakan ke bawah kerana kerajaan sebelum ini mahu menaikkan denda bagi individu kepada “RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali”.

Di bawah undang-undang semasa, individu yang melakukan kesalahan pertama di bawah Akta 342 boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun. Hukuman penjara untuk kesalahan kedua dan seterusnya dinaikkan kepada lima tahun. – 16 Disember, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen