Putrajaya kurangkan denda, hukuman penjara dalam pindaan akta cegah penyakit


Chan Kok Leong

Pindaan 11 perkara di bawah Akta 342 menyaksikan hukuman denda dan penjara lebih berat bagi kesalahan melanggar SOP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2021.

PUTRAJAYA membuat semakan semula pindaan rang undang-undang (RUU) untuk menaikkan kompaun dan hukuman penjara di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) berikutan bantahan orang ramai semalam.

Semakan itu, yang diberikan kepada ahli Parlimen di Dewan Rakyat selepas rehat tengah hari, mencatatkan tiga perubahan.

Semakan pertama (pindaan no 9) mengatakan hukuman maksimum bagi individu di bawah Seksyen 24(a) akan ditukar kepada “RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun”.

Ini adalah semakan ke bawah kerana kerajaan sebelum ini mahu menaikkan denda bagi individu kepada “RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali”.

Di bawah undang-undang semasa, individu yang melakukan kesalahan pertama di bawah Akta 342 boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun. Hukuman penjara bagi kesalahan kedua dan seterusnya dinaikkan kepada lima tahun.

Undang-undang semasa hanya membenarkan ketua pengarah kesihatan berkuasa untuk mengenakan denda maksimum RM1,000 terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard, seperti kegagalan memakai pelitup muka di tempat awam.

Begitu juga dalam semakan kedua (pindaan no 10), kerajaan menurunkan denda maksimum bagi syarikat di bawah Akta 342 daripada RM1,000,000 kepada RM500,000 di bawah Seksyen 25 (b).

Dalam semakan ketiga (pindaan no 11), kerajaan menurunkan denda maksimum individu kepada RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun.

Dalam pindaan RUU terdahulu, kerajaan mahu meletakkan denda maksimum kepada individu sebanyak RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Pada Selasa, kerajaan membentangkan pindaan RUU untuk meminda 11 perkara di bawah Akta 342.

Pembangkang dalam respons mereka mengumumkan tidak akan menyokong RUU kerajaan untuk menaikkan denda dan hukuman di bawah Akta 342. – 15 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen