DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor akan mengadakan mesyuarat khas sehari pada 6 Januari untuk meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan individu berumur 18 tahun bertanding dalam pilihan raya negeri.
Notis mesyuarat itu dihantar oleh Setiausaha DUN Johor Zainal Eran semalam.
“Mesyuarat Kali Ke-3 Penggal Ke-4 bagi DUN Johor ke-14 akan diadakan mulai 9.30 pagi sehingga mesyuarat ditangguhkan,” kata Zainal dalam notis dua muka surat itu.
“(Dalam mesyuarat ini), tidak akan ada sesi soal jawab.”
Notis itu tidak menyatakan agenda tetapi beberapa Adun memberitahu The Malaysian Insight yang mesyuarat khas itu diadakan untuk meminda perlembagaan negeri bagi menurunkan syarat umur bagi Adun.
Umur minimum semasa untuk menjadi calon pilihan raya ialah 21 tahun.
Menurut seorang pemimpin negeri, pindaan yang akan dibuat itu melibatkan Fasal 16 Seksyen 2 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 untuk membenarkan remaja berusia 18 tahun bertanding di DUN.
“Kebanyakan negeri sudah meminda perlembagaan mereka tetapi Johor belum. Oleh itu, ia mengadakan mesyuarat khas untuk melakukan perkara ini,” kata Adun itu.
Dewan Rakyat sebulat suara mengundi untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur pengundi dan calon kepada 18 tahun pada 16 Julai 2019.
Umur minimum mengundi baharu sudah diwartakan dan berkuat kuasa mulai 15 Disember.
Walaupun negeri tidak perlu meminda perlembagaan mereka untuk membenarkan pengundi berusia 18 tahun kerana ia adalah undang-undang persekutuan, mereka bagaimanapun, dikehendaki meminda undang-undang negeri untuk membenarkan individu berumur 18 tahun bertanding menjadi Adun.
Setakat ini, 10 daripada 13 negeri sudah meminda enakmen negeri selaras dengan pindaan Perlembagaan pada 2019.
Sabah adalah negeri pertama berbuat demikian pada 21 November 2019, diikuti Terengganu (12 Ogos 2020) Perak (27 Oktober 2020), Sarawak (12 November 2020), Kedah (18 November 2021), Kelantan (18 November 2021), Pulau Pinang (1 September 2021), Negeri Sembilan (2 Disember 2021), Selangor (6 Disember 2021) dan Pahang (10 Disember 2021).
Pada 24 November, pada mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-137, semua ketua kerajaan negeri bersetuju meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi membolehkan individu berumur 18 tahun bertanding dalam pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil.
DUN Johor mempunyai 16 Adun daripada Barisan Nasional (BN), 13 daripada Perikatan Nasional, dan 27 daripada Pakatan Harapan.
Kerajaan negeri kini diterajui oleh Adun Benut Hasni Mohamed (BN).
Melaka akan mengadakan mesyuarat DUN pertamanya dari 27 hingga 30 Disember manakala tiada sebarang berita bila Perlis akan meminda perlembagaan mereka. – 16 Disember, 2021.
Komen