Johor, Melaka paling lewat turun had umur tanding pilihan raya, kata Undi18


Persatuan Pengundi Muda (Undi18) hari ini berkata Johor dan Melaka perlu segera luluskan pindaan undang-undang negeri supaya membolehkan calon berusia 18 tahun bertanding dalam pilihan raya, sejajar dengan seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2021.

JOHOR dan Melaka perlu segera luluskan rang undang-undang bagi membenarkan pengundi berusia 18 tahun bertanding dalam pilihan raya, kata Persatuan Pengundi Muda (Undi18).

Ini penting kerana rakyat berumur 18 tahun sudah dibenarkan mengundi setakat hari ini, katanya dalam satu kenyataan sempena 15 Disember menandakan kejayaan melaksana had umur minimum pengundi baharu dan pendaftaran pemilih automatik berkuat kuasa.

“Kami juga mengambil maklum usaha yang dilakukan oleh beberapa negeri di Malaysia untuk melaksanakan Calon18 (menurunkan umur minimum calon pilihan raya daripada 21 kepada 18 tahun).

“Justeru, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengiktiraf usaha yang telah dilakukan oleh sebilangan besar kerajaan negeri dan pihak akar umbi yang berkempen bagi memastikan belia seawal usia 18 tahun dapat bertanding dalam pilihan raya.

“Sehingga hari ini, hanya negeri Johor dan Melaka yang masih belum meluluskan rang undang-undang tersebut melalui Dewan Undangan Negeri mereka,” kata Undi18.

Mengenai pelaksanaan Undi18 yang berkuat kuasa hari ini, Undi18 berkata ia adalah kemuncak kerja keras lima tahun melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam pemerkasaan politik belia.

“Ini bukti bahawa pergerakan akar umbi yang bertunjangkan anak muda mampu mencipta transformasi politik sejati.

“Setelah bertahun-tahun melakukan advokasi dan berkempen, belia Malaysia akhirnya akan dapat menuai hasil kerja keras mereka. 

“Kemuncak yang ditunggu-tunggu ini akhirnya akan membolehkan 5.8 juta rakyat Malaysia menggunakan hak asasi mereka sebagai rakyat negara ini untuk memilih pemimpin mereka di peti undi.”

Pada 16 Julai 2019 Dewan Rakyat sebulat suara mengundi untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur pengundi dan calon kepada 18 tahun.

Umur minimum mengundi baharu telah diwartakan dan berkuat kuasa mulai 15 Disember. – 15 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen