Bank Negara mungkin dipaksa beli tanah bayar hutang 1MDB, kata PAC


Chan Kok Leong

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara hari ini melaporkan kepada Parlimen yang Kementerian Kewangan mungkin menekan Bank Negara Malaysia untuk beli sebidang tanah kerajaan berharga RM2.07 bilion bagi membayar hutang 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2021.

BANK Negara Malaysia (BNM) mungkin ditekan oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk membeli sebidang tanah milik kerajaan pada harga RM2.07 bilion bagi membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Dalam laporannya kepada Parlimen hari ini, PAC merumuskan Kementerian Kewangan memperolehi RM2.07 bilion untuk membayar hutang 1MDB pada 31 Disember 2017.

“BNM tidak pernah merancang untuk membeli tanah Lot 41 sebelum tawaran dikemukakan oleh MOF. 

“Perancangan perolehan tanah Lot 41 tidak wujud dalam perancangan strategik tahunan BNM bagi tempoh 2015 hingga 2017,“kata jawatankuasa itu dalam laporannya.

BNM kemudian melaporkan tanah berkenaan dibeli untuk membangunkan hab pendidikan perkhidmatan kewangan bagi jangka masa panjang, yang bagaimanapun diragui oleh PAC.

PAC juga merumuskan BNM tidak membuat penilaian wajar untuk pembelian tanah berkenaan.

Malah, lembaga pengarah BNM memutuskan pembelian tanah itu hanya sembilan hari selepas perbincangan dengan MOF, yang menterinya pada masa itu Najib Razak.

Perbincangan dengan MOF bermula pada 15 Ogos 2017 manakala lembaga pengarah BNM meluluskan pembeliannya pada 24 Ogos, iaitu tiga hari selepas surat tawaran MOF.

“Transaksi perolehan diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat iaitu empat bulan. 

“Kesemua ini membangkitkan keraguan sama ada BNM menghadapi tekanan daripada pihak kerajaan dalam membuat keputusan,” kata laporan PAC.

Jawatankuasa itu juga merumuskan penilaian tanah oleh tetuan Suleiman & Co pada RM2.07 bilion terlalu tinggi sedangkan agensi kerajaan iaitu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta menilainya RM1.42 bilion.

Lim Guan Eng semasa jadi menteri kewangan pentadbiran Pakatan Harapan mendedahkan BNM membayar sejumlah wang kepada Kementerian Kewangan, yang kemudian digunakan untuk melunaskan hutang 1MDB termasuk hasil pembelian tanah oleh bank pusat.

Gabenor BNM pada masa itu Muhammad Ibrahim kemudian letak jawatan kerana tidak mahu integritinya dipersoalkan, dan demi melindungi imej serta reputasi bank pusat.

Beliau juga menafikan pembelian sebidang tanah dekat Sasana Kijang di Bukit Perdana, Kuala Lumpur dibuat dengan niat untuk bersubahat dengan penyelewengan dana awam terkait skandal 1MDB. – 13 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen